Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) komited memperkasakan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sebagai penyumbang ketiga ekonomi negara selepas sektor kerajaan dan swasta.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata, perkara ini tidak mustahil untuk dilaksanakan memandangkan SKM memiliki aset melebihi RM140 bilion dengan jumlah koperasi sebanyak 14,000 bersama dengan keahlian yang melebihi enam juta.

"SKM adalah satu kumpulan yang cukup besar. Jika kita perkasakan setiap koperasi di Malaysia untuk menghasilkan pelbagai jenis produk, saya rasa ia boleh mengisi keperluan masyrakat dan pengguna.

"Ia merupakan satu sumber pendapatan bagi koperasi dan ahli-ahlinya serta mampu memberi peluang pekerjaan kepada ramai rakyat Malaysia.

"Kalau kita bersungguh-sungguh meransang koperasi untuk terlibat secara aktif dalam menghasilkan produk pengguna dan menyediakan perkhidmatan termasuk perkhidmatan perbankan, kredit dan sebagainya, maka peranan koperasi dapat dipertingkatkan dan menjadi penyumbang ketiga kepada ekonomi negara," katanya pada sidang media selepas majlis penutup konvensyen 'Young Entrepreneurs Strive For Success (YESS)' Peringkat Kebangsaan 2018 pada Selasa.

Selain itu, beliau berkata MED juga berhasrat supaya SKM dapat menyumbangkan 10 peratus kepada Keluaran alam Negara Kasar (KDNK) daripada sumbangannya yang setakat ini berada pada paras kurang daripada lima peratus.

Tambahnya, MED juga menyasarkan untuk meningkatkan sumbangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terhadap KDNK kepada 42 peratus menjelang 2020 berbanding 37 peratus pada ketika ini.

Sementara itu, mengulas tentang perangkaan polisi mengenai Dasar Keusahawanan Negara, beliau berkata ia masih dalam proses penyediaan dan maklumat lanjut akan diumumkan pada 15 Nov ini oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.