Polis mengesahkan ujian darah dan air kencing dua lelaki Nepal yang mengalami gejala letih teruk selepas minum kopi pracampuran perisa durian minggu lalu mengandungi sejenis dadah.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Anuar Omar berkata keputusan analisa Jabatan Kimia mendedahkan sample darah dan air kencing itu mengandungi dadah namun, nama saintifiknya tidak boleh didedahkan kerana kes berkenaan masih dalam siasatan polis.

Katanya, dadah tersebut memang terdapat di pasaran tetapi jarang digunakan penagih dadah.

Dalam masa sama katanya, pihak polis masih menunggu keputusan daripada Jabatan Kimia membabitkan mangsa yang lain.

Anuar berkata demikian ketika dihubungi Astro Awani.

Siasatan awal polis sebelum ini tidak menolak kemungkinan kopi pracampuran yang diminum dua lelaki Nepal mengandungi bahan asing disyaki sejenis dadah .

Ujian analisis sampel kopi yang dijalankan di Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan Pulau Pinang juga mengesan kandungan dadah namun belum dapat dipastikan jenisnya.

Seramai tujuh individu telah menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang akibat diserang gejala seperti sawan dan letih teruk selepas meminum kopi pracampuran berperisa durian yang dicampur dadah yang diberikan individu tidak dikenali.

Sehingga kini, sebanyak lima laporan polis telah diterima polis berhubung insiden kopi pracampuran yang didakwa mengandungi dadah.

Setakat ini, polis menerima lima laporan sejak 30 Januari hingga 3 Febuari lalu membabitkan mangsa, pengurus kilang dan pegawai perubatan daripada Jabatan Kesihatan Negeri.