Seorang rakyat Malaysia yang meninggal dunia di Qatar akibat COVID-19 10 Jun lepas layak menerima bantuan Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM 2,000 dan faedah Pencen Penakat hari ini.

Penyerahan sumbangan itu dilakukan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M.Saravanan kepada waris Allahyarham Tengku Endot Tengku Jusoh, 53 tahun di Kampung Kubu Gajah di Shah Alam, Selangor.

Allahyarham layak menerima Faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial kerana pernah mencarum selama 10 tahun sebelum bekerja di Qatar.

"Hari ini kita datang untuk memberi sumbangan kewangan mangsa COVID-19 di Qatar yang telah meninggal dunia memandangkan beliau telah mencarum untuk PERKESO sebelum pergi ke Qatar bulan lepas melalui Malaysia Airlines selama lebih daripada 10 tahun.

"Ramai tidak sedar, kebetulannya ramai berpendapat bantuan PERKESO hanya dalam perjalanan dan ke tempat perjalanan sahaja sebenarnya. Apabila ada kemalangan seperti ini kepada pencarum walaupun pencarum itu buat masa ni tidak mencarum tetapi sebelum ini pernah mencarum, ini sumbangan kepada keluarga atau isteri sebagai pencen sama macam skim pencen sebanyak 65 peratus daripada pendapatan sebelum ini selagi isteri hidup.

"Tambahan pula anak-anak di bawah 21 tahun akan dapat bantuan pendidikan sehingga umur 21 tahun dan sekiranya selepas dari umur 21 tahun mereka boleh memohon untuk pinjaman pendidikan. Tujuan kita hari ini ialah kita hendak orang ramai sedar apakah peranan PERKESO untuk bantu dan hari ini kita telah membuka ruang untuk mereka supaya mereka mencarum," katanya di sini, pada Selasa.

Dalam pada itu, isteri Allahyarham Tengku Endot, Salwana Ibrahim melahirkan penghargaan kepada PERKESO dengan bantuan faedah caruman yang diperoleh suaminya itu.

"Saya sebenarnya sangat menghargai kehadiran Menteri dan juga Datuk serta semua pegawai PERKESO ke rumah saya pada hari ini. Terima kasih banyak, saya sangat terhutang budi sebab keluarga dalam kesusahan akibat daripada ketiadaan arwah. Jadi dengan adanya bantuan sedemikian sedikit sebanyak dapat meringankan beban kami sekeluarga.

"Memang sangat tidak menyangka sebenarnya sebab benda sudah lama, dalam 2015. Jadi apabila arwah sudah bekerja di Doha, saya ingatkan mungkin perkara ini tidak ada kaitan. Mungkin akan terputus macam tu saja, sebab sudah lima tahun dia dekat sana," ujarnya.

Allahyarham Tengku Endot merupakan rakyat Malaysia pertama di luar negara yang memenuhi syarat mendapat manfaat PERKESO berkenaan selain 14 lagi layak yang menerima faedah PERKESO dalam negara.

Beliau yang berasal dari Besut, Terengganu disahkan meninggal dunia di Hamad Medical Centre, Doha, pada 11 pagi waktu tempatan atau kira-kira jam 4 petang waktu Malaysia 10 Jun lepas.

Allahyarham yang meninggal dunia pada 10 Jun lalu juga pernah bertugas di Malaysia Airlines sebelum menyertai Qatar Airways.

Beliau meninggalkan seorang balu, dan enam orang anak berusia antara umur 14 hingga 27 tahun.

Pencen Penakat adalah satu faedah dalam Skim Keilatan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 yang dibayar kepada orang tanggungan yang layak.