Korea Utara hari ini menegaskan tidak menerima sebarang permohonan dari Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk bekerjasama dalam siasatan pembunuhan warganya itu.

Jurucakap kedutaan negara itu ketika ditemui media antarabangsa di sini, turut mendakwa PDRM menyembunyikan sesuatu dari hasil siasatan pembunuhan Kim Jong Nam.

Selain itu katanya Korea Utara turut menyelar penahanan warganya bagi tujuan siasatan oleh PDRM.

"Ketua Polis Negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar) telah menyatakan pada sidang media bahawa kedutaan Korea Utara telah diberi maklum.

"Tetapi sebenarnya kami tidak diberi sebarang pemakluman berhubung insiden pembunuhan Kim Jong Nam." katanya.

Selain itu katanya Korea Utara turut menyelar penahanan warganya bagi tujuan siasatan oleh PDRM.

" Kami tidak menerima sebarang permohonan untuk bekerjasama dalam siasatan yang dibuat.

"Mereka hanya menghantar kepada kami beberapa dokumen dan melakukan penahanan ke atas suspek warga Korea utara, dan kami menentang tindakan yang dibuat itu." katanya.

Beliau turut mendakwa, segala maklumat yang disebarkan media tempatan berhubung diplomat negara itu sebagai salah dan diada-adakan.

Kenyataan ini dibuat sebagai respon kepada sidang media oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Rabu.