Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menitahkan agar kesemua masjid di seluruh negara mengadakan solat hajat dan doa selamat memohon ihsan Allah S.W.T agar memelihara rakyat daripada sebarang penyakit yang tidak diingini.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, ia berikutan peningkatan penularan wabak 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) di China dan negara-negara lain termasuk Malaysia.

Beliau berkata, Seri Paduka sentiasa mengikuti perkembangan terkini berkenaan wabak itu serta amat prihatin dan bimbang dengan keselamatan diri rakyat Malaysia yang berada di dalam serta luar negara susulan jangkitan 2019-nCoV.

"Seri Paduka menyeru kepada rakyat untuk memperbanyakan doa agar Malaysia dan dunia dilindungi daripada wabak berkenaan serta memudahkan pihak-pihak berkuasa tempatan dan di kawasan-kawasan terjejas menangani gejala wabak ini.

"Semoga situasi kehidupan insan dapat dipulihkan seperti sediakala," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara di sini, hari ini.

Al-Sultan Abdullah turut mengulangi nasihatnya kepada rakyat agar sentiasa mendapatkan perkembangan dan maklumat terkini mengenai wabak 2019-nCoV hanya daripada saluran-saluran rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan agensi-agensi kerajaan serta media arus perdana.

Seri Paduka juga sekali lagi menyeru kepada rakyat untuk sentiasa mengikuti nasihat dan saranan langkah pencegahan dan amalan kesihatan seperti yang digariskan KKM. - BERNAMA