Orang ramai dinasihatkan hanya mendapatkan maklumat terkini mengenai kes 2019 Novel Coronavirus (2019-nCoV) di Malaysia daripada Kementerian Kesihatan dan kementerian lain yang berkaitan melalui kenyataan yang dikeluarkan dalam media.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr N Ganabaskaran berkata, ia bagi mengelak orang ramai berkongsi maklumat tidak tepat yang boleh menimbulkan ketakutan dan panik.

"Nasihat daripada Kementerian Kesihatan mengenai langkah pencegahan perlu dipandang serius. Ini adalah masa untuk semua pihak meletakkan kepercayaan kepada kerajaan dalam mengendalikan situasi yang kompleks ini.

"Kami percaya bahawa isu ini dikendalikan dengan baik oleh Kementerian Kesihatan di bawah pimpinan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan kerajaan sedang melakukan yang terbaik dengan mengambil langkah sewajarnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

BACA: Penularan koronavirus di Malaysia belum sampai tahap kritikal - Tun M


BACA: Mustahil untuk kuarantin semua pelancong China di Malaysia - Tun M



MMA turut menasihati penyedia penjagaan kesihatan termasuk doktor, ahli farmasi, jururawat, penolong pegawai perubatan dan kakitangan sokongan untuk terus mematuhi piawaian kawalan jangkitan sedia ada bagi melindungi diri mereka ketika melaksanakan tugas.

Setakat ini, empat kes koronavirus disahkan di negara ini. - BERNAMA