Tutup

Koronavirus: Kerajaan sedia bawa balik rakyat Malaysia di Wuhan - Dr Mahathir

Koronavirus: Kerajaan sedia bawa balik rakyat Malaysia di Wuhan - Dr Mahathir
Dr Mahathir berkata, kerajaan berhasrat menghulurkan bantuan kepada China berikutan masalah kekurangan bekalan makanan di Wuhan. Astro AWANI/SHAHIR OMAR
PUTRAJAYA: Kerajaan sedia untuk membawa balik rakyat Malaysia yang berada di Wuhan, China, dalam masa terdekat.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan mengarahkan Kementerian Luar untuk mengadakan perbincangan dengan kerajaan China bagi mendapatkan kebenaran.

“Selain daripada itu, kita hadapi masalah rakyat Malaysia yang berada di Wuhan, mereka sekarang ini tidak boleh keluar dari Wuhan.

"Kita ingin berbincang dengan kerajaan China supaya rakyat Malaysia yang tak sakit boleh balik ke Malaysia dan mereka akan diperiksa apabila sampai ke Malaysia.
“Kalau ada bukti mereka sakit koronavirus ataupun mereka berada di sana lama, kita akan kuarantin sebelum mereka dibenarkan balik ke rumah masing-masing,” katanya pada sidang media khas, di sini, hari ini.

Tambah beliau, setakat ini sekurang-kurangnya 78 rakyat Malaysia berada di Wuhan dan kesemua mereka dalam keadaan sihat.
Bagaimanapun, kesemua mereka akan menjalani prosedur saringan dan dikuarantin selama 14 hari sebaik sahaja dibawa pulang ke negara ini.



Dalam pada itu, Dr Mahathir menambah, kerajaan berhasrat menghulurkan bantuan kepada China berikutan masalah kekurangan bekalan makanan di Wuhan.

“Kemungkinan bekalan makanan di Wuhan terhad dan ada yang cuma ada makanan (untuk) empat hari sahaja. Kita berminat untuk bantu Wuhan.

"Jadi, kalau kita terpaksa hantar kapal terbang mengambil balik rakyat kita, kalau dibenar oleh kerajaan China, kita akan bawa makanan dan sarung tangan dan penutup mulut dan hidung,” ujarnya.