Seorang pelancong wanita berusia 67 tahun dari China disahkan sebagai kes terbaharu jangkitan koronavirus (2019-nCoV) di Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata wanita tersebut merupakan ibu kepada kawan kes warganegara China yang dilaporkan positif pada 6 Februari lalu.

Wanita itu telah diarahkan untuk tidak ke mana-mana bagi menjalani Perintah Pengawasan dan Pemantauan.

“Ujian pengesanan dan pengesahan 2019-nCoV telah dibuat dan dilaporkan positif pada 7 Februari 2020.

“Beliau kini telah dimasukkan ke wad pengasingan di Hospital Kuala Lumpur dan berada dalam keadaan stabil,” katanya pada sidang media situasi terkini wabak koronavirus.

Dr Wan Azizah juga memaklumkan kes keenam telah didiscaj dari Hospital Langkawi pada 4 Februari lalu setelah dua ujian ulangan pengesanan adalah negatif.

“Satu lagi kes iaitu kes keempat sedang menunggu keputusan ujian ulangan ketiga di mana ujian pertama dan kedua adalah negatif.

“Untuk makluman, kes ini telah menerima rawatan dengan menggunakan ubat antiretroviral.

“Ubat antiretroviral adalah merupakan ubat yang digunakan untuk merawat pesakit yang dijangkiti human immunodeficiency virus (HIV),” katanya lagi.

Beliau juga memaklumkan ujian ulangan akan dilakukan terhadap empat warganegara Malaysia yang dikesan positif jangkitan 2019-nCoV.