Malaysia masih mengamalkan dasar ‘buka pintu’ kepada rakyat dari China dan menerima kedatangan pelawat republik itu kecuali dari wilayah Hubei dan bandar Wuhan berikutan penyebaran wabak koronavirus baharu (2019-nCoV).

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata walaupun kerajaan mengambil keputusan untuk memperluaskan sekatan perjalanan meliputi wilayah lain, namun ia masih bersifat praktikal.

“Maknanya, kita tidak seperti sesetengah negara (lain yang menyekat kemasukan pelawat dari China), kita dengan China (mempunyai) hubungan rapat.

“Jadi, kena ingat ada rakyat Malaysia di China yang masih mahu balik. Jadi, jika kita tutup (pintu negara), maka rakyat Malaysia pun tidak boleh balik.

“Malah, ada rakyat China yang datang ke sini yang mahu pulang. Sebab itu kita membuat keputusan yang sangat praktikal dan kita tidak menutup pintu,” katanya di sini, pada Jumaat

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyerahan 10 buah ambulans ke Gaza di Wisma Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), di sini.

Katanya, sekatan wilayah diputuskan setelah mengambil kira laporan daripada kerajaan China berhubung penularan wabak koronavirus.

Mengulas lanjut, Saifuddin dalam pada itu memaklumkan kerajaan komited untuk terus bersoladariti bersama rakyat dan kerajaan China dalam menangani penularan wabak tersebut.

BACA: SEMUA YANG ANDA INGIN TAHU BERHUBUNG KORONAVIRUS

“Mereka (kerajaan China) menjalankan tugas yang begitu baik sebagaimana yang telah kita saksikan berdasarkan laporan yang diberikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Kita juga yakin dengan persediaan, kesungguhan dan keupayaan kerajaan China dalam menghadapi dan menangani perkara ini,” ujarnya.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan sekatan perjalanan terhadap China akan diperluaskan meliputi wilayah lain setelah dikenakan sekatan pergerakan keluar masuk oleh kerajaan China.

Jelasnya, Jabatan Imigresen akan mengambil tindakan sekatan perjalanan sebaik sahaja kerajaan China mengisytiharkan sesebuah wilayah di 'lockdown'.

Setakat ini, Kerjaan China telah mengambil keputusan untuk menyekat beberapa daerah termasuk di pusat wilayah Hubei yang melibatkan lebih 50 juta rakyatnya.

Jumlah kematian sehingga hari ini direkodkan lebih 600 orang, di seluruh dunia dengan jumlah tertinggi di China.