Melaka mengubah strategi pemasaran pelancongan dengan memberi fokus kepada pasaran Asia Tenggara terutama Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina dan Brunei susulan wabak 2019 novel koronavirus yang melanda China, sehingga menjejaskan kedatangan pelancong dari negara itu.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata China merupakan antara pasaran besar bagi industri pelancongan Melaka, dan kebergantungan terhadap kedatangan pelancong dari negara itu perlu dilihat semula.

Beliau berkata pembatalan saat akhir oleh pelancong China banyak melibatkan tempahan hotel dan tiket masuk ke destinasi pelancongan di Melaka.

"Penularan koronavirus memang memberi kesan kepada sektor pelancongan Melaka kerana ia paling banyak dilaporkan berlaku di China, selain turut dikesan di negara lain juga," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Muhammad Jailani berkata perkara itu berlaku di luar jangkaan, dan strategi lain perlu difikirkan untuk mengatasi impak kehilangan pelancong China.

Menurut Bahagian Promosi Pelancongan Melaka, pelancong China merupakan pasaran utama pelancongan antarabangsa dengan kedatangan dua juta orang atau 40.22 peratus; diikuti Singapura di kedudukan kedua iaitu seramai 718,000 atau 17 peratus; dan Indonesia di kedudukan ketiga dengan jumlah kedatangan pelancong 417,000 atau 10 peratus, dalam tempoh Januari hingga September tahun lepas.

Mengulas lanjut, Muhammad Jailani berkata situasi berkenaan juga dijangka akan memberi kesan kepada misi Melaka menjadi antara penyumbang kepada Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020).

-- BERNAMA