Tutup

Koronavirus: MSOSH gesa majikan laksana pelan tindakan kecemasan

Koronavirus: MSOSH gesa majikan laksana pelan tindakan kecemasan
Organisasi juga perlu menyaring pekerja dan pelawat yang tidak sihat dan meminta mereka supaya mendapatkan rawatan doktor sebelum dibenarkan masuk ke premis kerja. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) menyarankan semua organisasi dalam sektor awam dan swasta melaksanakan pelan tindakan kecemasan di tempat kerja bagi menangani penularan 2019 novel koronavirus.

Presidennya Khairuddin Hairan dalam kenyataan pada Ahad mencadangkan pihak majikan melaksanakan 11 langkah kawalan di tempat kerja masing-masing.
Menurutnya, ia sebagai sokongan kepada kesiapsiagaan dan respons yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengelakkan penularan virus itu di negara ini.

Beliau berkata antara langkah itu ialah menjalankan penilaian risiko kesihatan terhadap pekerja serta melaporkan segera kepada KKM sekiranya terdapat jangkitan.
Katanya organisasi juga perlu menyaring pekerja dan pelawat yang tidak sihat dan meminta mereka supaya mendapatkan rawatan doktor sebelum dibenarkan masuk ke premis kerja.

"Majikan juga perlu memastikan deklarasi kesihatan dilaksanakan sebelum memasuki tempat kerja khususnya untuk pekerja dan pelawat, mengamalkan adab batuk yang baik seperti memakai penutup hidung atau surgical mask sekiranya batuk dan selesema.

"Selain itu permukaan sentuhan juga perlu dibersihkan menggunakan nisbah cairan peluntur dan air (satu nisbah tujuh) terutama pada tombol pintu, butang lif, selusur tangan dan lain-lain. Meletakkan poster dan promosi maklumat mengenai koronavirus di tempat kerja bagi memberi kesedaran berterusan," katanya.

Pada masa yang sama, Khairuddin berkata pekerja yang diberikan cuti sakit dinasihatkan berehat di rumah dan mengelak daripada mengunjungi tempat-tempat tumpuan ramai seperti pasar malam, pusat membeli belah, pusat hiburan dan taman permainan.

Majikan juga disaran menyediakan bahan penyahkuman tangan yang mengandungi alkohol lebih 70 peratus bagi pelaksanaan amalan kebersihan tangan dalam kalangan pekerja.

-- BERNAMA


Tag: msosh, persatuan keselamatan dan kesihatan pekerjaan malaysia, koronavirus, khairuddin hairan, pelan tindakan kecemasan



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.