Pahang menempatkan alat pengesan haba (thermal scanner) di tiga pintu masuk antarabangsa sebagai langkah mencegah jangkitan 2019 novel koronavirus di negeri itu.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata alat itu ditempatkan di Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah (LTSAS), Pelabuhan Kuantan dan Jeti Tekek di Pulau Tioman.

Beliau berkata tindakan itu diambil selepas keputusan mengenainya dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang dan taklimat khas mengenai koronavirus hari ini.

"Mesyuarat juga memutuskan penganjuran sebarang aktiviti sukan seperti larian antarabangsa membabitkan warga asing perlu memperolehi dokumen kesihatan sokongan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) terlebih dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Ramah Mesra Bersama Pemimpin Masyarakat Daerah Jerantut Serta Penyampaian Watikah Lantikan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Dan Kemakmuran Kampung (JKKK) dan Sumbangan Kerajaan Negeri Kepada JKKK Negeri Pahang, di sini, hari ini.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Hati-hati dengan wabak koronavirus!

Beliau berkata selain saringan di pintu masuk antarabangsa, mesyuarat turut memutuskan saringan akan dilakukan di klinik serta hospital, dan pemantauan proaktif perlu dilaksanakan di hotel-hotel atau tempat penginapan pelancong dari negara yang berisiko.

"Perbincangan juga dilakukan dengan pihak Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP), Pelabuhan Kuantan dan LTSAS mengenai langkah siap siaga lain yang perlu diambil.

"Kerajaan negeri amat mengambil berat isu jangkitan koronavirus ini walaupun tiada jangkitan dilaporkan setakat ini di Pahang, kerana ia amat berbahaya dan mampu merebak dengan cepat," katanya.

Wan Rosdy juga berkata Kementerian Kesihatan telah memilih Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) sebagai hospital rujukan bagi mengumpul keupayaan dan kepakaran untuk rawatan jangkitan koronavirus.

-- BERNAMA