Seorang wanita tempatan berusia 65 tahun disahkan positif wabak koronavirus sekali gus menjadi jumlah mangsa meningkat kepada 17 orang.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, wanita berkenaan merupakan ibu mertua kepada kes warganegara Malaysia yang dilaporkan pada 4 Februari lalu (iaitu kes ke-9).

Beliau mempunyai beberapa penyakit kronik sedia ada seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, lumpuh separuh badan, seorang pesakit jantung yang menggunakan perentak jantung (pacemaker) serta
pergerakan yang terhad.

"Beliau mempunyai kontak langsung dengan kes indeks (kes ke-9) semasa duduk semeja bagi beberapa jamuan makan sempena sambutan Tahun Baharu Cina bersama-sama ahli keluarga yang lain pada 26, 27 dan 28 Januari 2020," kata beliau dalam kenyataan media yang diedarkan pada Ahad.

Dr Noor Hisham berkata, sepanjang 29 Januari hingga 4 Februari lalu, mangsa hanya berada di rumah sehinggalah sehari kemudian, beliau mengadu mengalami pening kepala, berpeluh dan tidak bermaya tetapi tiada demam.

"Beliau seterusnya telah dibawa untuk mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di salah sebuah hospital swasta.

"Sejurus selepas itu, beliau dibenarkan pulang ke rumah dengan temujanji susulan pada 7 Februari 2020," kata Dr Noor Hisham lagi.

Bagaimanapun, sebaik menantunya (kes indeks ke-9) dikesan positif koronavirus, mangsa telah dijejaki oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

"Hasil siasatan mendapati beliau tidak mempunyai sejarah perjalanan ke negara China. Sebagai sebahagian daripada aktiviti siasatan, sampel telah diambil daripada beliau dan ahli keluarga yang lain.

"Ujian pengesanan dan pengesahan 2019-nCoV yang dijalankan ke atasnya telah dilaporkan positif pada 8 Februari 2020, manakala bagi lain-lain ahli keluarganya adalah negatif," jelas Dr Noor Hisham.

Mangsa, kata Dr Noor Hisham, dimasukkan ke wad pengasingan di Hospital Sungai Buloh dan
berada dalam keadaan stabil.

Aktiviti pengesanan kontak juga, katanya, masih dijalankan dan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.