Tiada kes yang disahkan sebagai novel coronavirus (2019-nCoV) dilaporkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor, mahupun kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sehingga hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, bagaimanapun, pihaknya telah dihubungi Kementerian Kesihatan Singapura semalam untuk memaklumkan mengenai lapan orang kontak rapat dengan satu kes import novel koronavirus.

Jelas beliau, satu kes import novel coronavirus (2019-nCoV) itu melibatkan seorang lelaki, warganegara China dari Wuhan berumur 66 tahun.

"Lapan individu berkenaan terdiri daripada empat dewasa dan empat kanak-kanak, kesemuanya adalah dari China.

"Dengan perkongsian maklumat tersebut pihak JKN Johor telah bertindak segera dengan mengesan kesemua kontak berkenaan dan melakukan saringan kesihatan bagi memeriksa status kesihatan mereka.

"Hasil saringan menunjukkan mereka sihat dan tiada tanda-tanda atau gejala jangkitan sehingga hari ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Noor Hisham, sampel klinikal juga telah diambil di kalangan kontak ini untuk ujian pengesanan 2019-nCoV.

"JKN Johor akan terus memantau tahap kesihatan harian mereka sehingga 14 hari atau sehingga mereka pulang ke negara asal atau yang mana terdahulu," katanya.

BACA: Singapura sahkan kes pertama virus Wuhan

BACA: Koronavirus: Lapan warga China dikuarantin di Johor Bahru

Sehubungan itu, Noor Hisham memberitahu, pihaknya merakamkan penghargaan di atas kerjasama rapat dan perkongsian maklumat kesihatan berkaitan yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan Singapura.


Kata beliau, kolaborasi dua hala itu akan terus diperkukuhkan di antara Kementerian Kesihatan kedua-dua negara.

"KKM akan terus memantau perkembangan terkini wabak 2019- nCoV di China dari semasa ke semasa melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan sumber- sumber rasmi yang lain.