Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan bawang merah, bawang besar dan bawang putih di negara ini, mencukupi sehingga sambutan Tahun Baharu Cina tahun depan.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, bagi menampung bekalan bawang merah dari India yang ketika ini mengalami kekurangan bekalan, kerajaan mengimport lebih banyak bawang dari negara lain seperti Belanda, China dan Pakistan.

"Walaupun India merupakan pengeksport terbesar kepada Malaysia, kita masih ada bawang dari tiga negara tersebut. Saya beri jaminan bekalan tiga jenis bawang itu mencukupi sehingga sambutan Tahun Baharu Cina nanti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program 'Kembali ke Sekolah' di Tesco Seberang Jaya, di sini pada Sabtu.

Seramai 150 murid menerima bantuan peralatan dan keperluan sekolah pada program anjuran KPDNHEP dan Tesco itu.

Saifuddin Nasution berkata berdasarkan pemantauan, pihaknya mendapati trend kenaikan harga bawang merah ini berlaku kerana, ketika ia dibawa masuk ke Malaysia, harga bahan tersebut memang mahal dari negara asalnya.

Beliau berkata pihaknya sentiasa memantau dan membuat pemeriksaan di premis serta pemborong bawang, bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan menyorok, dan menjual barang runcit itu pada harga tinggi.

BACA: KPDNHEP siasat kenaikan harga bawang India di Perlis

BACA: PPIK gesa KPDNHEP siasat kenaikan harga bawang merah

Dalam pada itu, beliau turut mengarahkan pegawai KPDNHEP untuk menjalankan siasatan dan meneliti laporan sebuah akhbar yang menyiarkan mengenai ancaman penyeludupan bawang, yang didakwa berlaku di sempadan Malaysia-Thailand.

Sebuah akhbar melaporkan, bekalan bawang mudah ditemui di pekan Padang Besar di Thailand, sehingga berlaku lambakan terhadap barang runcit itu, yang menimbulkan tanda tanya, kerana ketika berlaku kekurangan bekalan di kebanyakan negeri, kawasan sempadan dan di Thailand pula mempunyai lebihan stok.

Menurut laporan media, sebelum ini harga bagi sekilogram bawang merah adalah RM4, namun bahan itu kini dijual pada harga RM12 sekilogram.

-- BERNAMA