Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan menyita 3,226 unit tong gas memasak yang bernilai RM193,782 kerana melakukan kesalahan memindah dan menyimpan tong gas di kawasan yang tidak dilesenkan.

Menurut Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri, Azanizam Affendi Juri, sitaan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 itu dilakukan selepas pihaknya menjalankan serbuan di premis yang terletak di kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa semalam.

“Hasil operasi yang dianggotai lebih kurang 25 pegawai penguatkuasa mengesyaki pemegang lesen barang kawalan Gas Petroleum Cecair telah melanggar peruntukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memindahkan barang kawalan di tempat yang tidak dilesenkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya siasatan dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum di bawah Seksyen 22 Akta yang sama yang memperuntukkan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun bagi individu, atau bagi pertubuhan perbadanan boleh didenda sehingga RM2 juta..


 Hasil operasi mengesyaki pemegang lesen barang kawalan Gas Petroleum Cecair telah melanggar peruntukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memindahkan barang kawalan di tempat yang tidak dilesenkan. - Astro AWANI

Sementara itu, Bernama melaporkan, Azanizam berkata pihaknya juga bertindak mengambil keterangan daripada pemegang lesen yang berusia 50-an untuk siasatan selanjutnya.

Jelasnya KPDNHEP Kelantan sentiasa komited memantau dan menjalankan pemeriksaan serta mengambil tindakan tegas ke atas peniaga yang gagal mematuhi peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkannya kepada kementerian melalui Talian 03-8000 8000 1Malaysia One Call Centre (1MOCC); Talian bebas tol Pusat Informasi dan Gerakan Operasi Strategik (PIGOS) 1-800-886-800 atau SMS ke 15888.

"Selain itu, orang ramai juga boleh hadir ke mana-mana pejabat KPDNHEP untuk menyalurkan terus maklumat," katanya.

Azanizam berkata, operasi bermula kira-kira pukul 9 pagi Rabu dan tamat sepenuhnya kira-kira pukul 5 pagi Khamis.