Tutup

KPDNHEP rancang tubuhkan pusat agihan 'food bank' di setiap wilayah

KPDNHEP rancang tubuhkan pusat agihan 'food bank' di setiap wilayah
Saifuddin meninjau barang makanan yang sedang menunggu masa untuk diagihkan. - Astro AWANI
KAJANG: Prihatin dengan kos sara hidup yang menjadi agenda utama kerajaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil inisiatif menubuhkan Pusat Pengumpulan dan Agihan bagi program Food Bank Malaysia.

Inisiatif dengan kerjasama Yayasan Food Bank Malaysia itu diharapkan menjadi perintis kepada banyak lagi penubuhan pusat seumpamanya di seluruh negara.
"Kalau di Pantai Timur, kita ada Food Aid Foundation yang kini sudah pun memiliki pejabat sendiri di Pengkalan Chepa, Kelantan. Memandangkan mereka adalah rakan strategik kita, Yayasan Food Bank memanfaatkan kelebihan logistik yang ada untuk membantu memudahkan operasi kita di sana.

"Memang menjadi hasrat kami untuk melihat pusat agihan seperti ini diwujudkan mengikut zon supaya dapat kami meningkatkan lagi kecekapan pengedaran bantuan," kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
KPDNHEP berharap kewujudan pusat itu akan meningkatkan kecekapan proses agihan, sekali gus menambahkan keyakinan masyarakat untuk memberi sumbangan.

Dalam masa yang sama, ia juga akan menjadi lokasi untuk melatih para sukarelawan khususnya dalam kalangan pelajar universiti untuk melihat sendiri bagaimana proses agihan dilakukan.

"Ini bukan sekadar tempat untuk terima dan edar barang makanan, tetapi kami juga mengundang para sukarelawan datang memberi bantuan.

"Hari ini, kami ada pelajar-pelajar dari Universiti Kebangsaan Malaysia untuk memberikan khidmat bantuan mereka. Jadi ini salah satu keunikannya," tambah beliau.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas pelancaran pusat itu, pada Selasa.

Terletak di Bukit Angkat, Kajang, ia akan menjadi pusat sehenti bagi mana-mana pihak yang mahu menyumbangkan makanan, sebelum diagihkan kepada golongan sasar yang telah dikenal pasti oleh rakan strategik atau badan bukan kerajaan (NGO) di peringkat negeri.

Sejak mula beroperasi pada Ogos 2018, lebih 400,000 ahli isi rumah serta 12,000 pelajar institusi pengajian tinggi telah menerima manfaat pengagihan makanan daripada Yayasan Food Bank Malaysia.


Tag: Saifuddin Nasution Ismail, Kajang, food bank, pusat agihan, Yayasan Food Bank Malaysia



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.