KPDNHEP sedia hapus surcaj 10 peratus parkir Touch 'n Go

KPDNHEP sedia hapus surcaj 10 peratus parkir Touch 'n Go
Menurut Chong, caj 50 sen yang dikenakan kepada pengguna apabila menambah nilai di beberapa outlet tidak diterima oleh Touch 'n Go sebaliknya penyedia perkhidmatan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang menghapuskan caj 10 peratus Touch 'n Go di kawasan parkir kenderaan secara berperingkat.

Bagaimanapun, Timbalan Menterinya, Chong Chieng Jen berkata masih terdapat kontrak sedia ada yang perlu dipatuhi sebelum penghapusan secara total dilaksanakan.

“Itu polisi yang kita warisi daripada Barisan Nasional (BN). Sekarang kita sudah membetulkannya. Sekarang kita nak hapuskan kos tambahan di mana surcaj 10 peratus itu akan dibatalkan.

“Namun, oleh kerana tertekan dengan kontrak… Semasa tamatnya kontrak sedia ada, ia (caj 10 peratus) tidak akan dikenakan lagi. Ia dilakukan secara berperingkat,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Seri Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang bertanya mengapa caj 10 peratus dikenakan di kawasan parkir kenderaan oleh Touch 'n Go.

Ditanya berkenaan caj 50 sen yang dikenakan kepada pengguna apabila menambah nilai di beberapa outlet, Chieng Jen berkata caj tersebut tidak diterima oleh Touch 'n Go sebaliknya penyedia perkhidmatan.

“Sekarang ada pilihan di mana di seluruh negara terdapat lebih 11,000 tempat tambah nilai dan lebih 2,000 tempat di mana pelanggan boleh tambah nilai tanpa caj 50 sen.

“Namun, di tempat lain, ia bergantung kepada perbincangan perniagaan atau business to business discussion yang mana tempat perniagaan yang menawarkan khidmat tambah nilai kad, caj 50 sen itu dikenakan oleh penyedia perkhidmatan.

“Caj 50 sen tersebut tidak dikutip oleh Touch 'n Go, tapi pengusaha sesetengah stesen minyak atau pasar raya yang menawarkan perkhidmatan itu,” ujarnya.

Fakta Touch 'n Go

* 11,168 lokasi tambah nilai di seluruh negara

* Tambah nilai tanpa caj tambahan: Lebih 2,000 lokasi
- Kaunter khidmat pelanggan Touch 'n Go
- TNG Spot
- Watsons
- Guardian
- Tesco
- KK Mart
- Caring Pharmacy 

* Tambah nilai dengan caj tambahan 50 sen:
- Stesen minyak
- Pasaraya
- Kedai runcit
- Mesin ATM.

*Nota: Caj tambahan tidak dikenakan Touch 'n Go tetapi oleh kedai-kedai yang menyediakan kemudahan tambah nilai ini kepada pengguna