Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak hari ini memberi amaran keras kepada orang awam yang cuba menjual kembali kepak ayam yang dipercayai telah dilupuskan oleh pihak Kastam Sarawak baru-baru ini di Sibu.

Timbalan Pengarah KPDNKK Sarawak, Abd Hafidz A Rahim berkata, kepak ayam tersebut dikhuatiri tidak selamat lagi kerana telah dilupuskan dan tindakan keras akan diambil bagi sesiapa sahaja yang mengambil kesempatan cuba menjual kembali kepak ayam tersebut.


“Saya beri amaran kepada sesiapa yang memungut semula kepak-kepak ayam yang telah dibuang dan kemudian menjual semula kepada pengguna akan dikenakan tindakan dan kita tidak akan berkompromi mengenai perkara ini” katanya pada sidang media di ibu pejabat KPDNKK Kuching pagi Rabu.

BACA: Penduduk gali kepak ayam dibuang

BACA: Pihak berkuasa siasat orang ramai gali kepak ayam dibuang

Menurutnya lagi, jika masih ada orang awam yang berbuat demikian, pihak KPDNKK tidak akan teragak-agak mengenakan denda sebanyak RM250,000 dan penjara 3 tahun di bawah seksyen 23 Akta Perlindungan Pengguna kerana menjual barang yang tidak selamat.

KPDNKK juga katanya akan membuat siasatan segera mengenai perkara ini dan jika terdapat bukti dan maklumat yang tepat berkenaan peniaga yang menjual kepak ayam tersebut tindakan akan diambil kepada peniaga berkenaan.

Dipercayai sebelum ini beberapa buah lori membawa sayap ayam sejuk beku yang diimport daripada New Zealand telah membuang kepak-kepak ayam terbabit dalam lubang besar yang kemudian ditimbus di Bukit Aup, di sini.