Tutup

KPKT cadang tempoh perkhidmatan PBT sepenggal sama dengan ADUN dan Ahli Parlimen

KPKT cadang tempoh perkhidmatan PBT sepenggal sama dengan ADUN dan Ahli Parlimen
Zuraida berkata cadangan itu bagi memastikan peranan dan perkhidmatan Ahli Majlis dapat dirasai oleh masyarakat sekaligus memantapkan lagi organisasi PBT di seluruh negara. - Gambar fail
BAYAN BARU: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bercadang untuk memanjangkan tempoh perkhidmatan Ahli Majlis dalam Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negara ini sama seperti tempoh perkhidmatan ADUN dan Ahli Parlimen.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata cadangan itu bagi memastikan peranan dan perkhidmatan Ahli Majlis dapat dirasai oleh masyarakat sekaligus memantapkan lagi organisasi PBT di seluruh negara.
PBT katanya tidak sempat meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan kepada penduduk sekiranya pertukaran membabitkan Ahli Majlis  kerap dilakukan dalam masa singkat.

Beliau berharap perlantikan Ahli Majlis dibuat bukan disebabkan lantikan politik atau sebagai ganjaran politik sebaliknya jawatan itu perlu diberikan kepada mereka yang benar-benar layak, berminat untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat selain patuh serta faham prosedur kerja PBT.
"Ada cadangan Ahli Majlis selama sepenggal. Hendak pastikan kualiti ada kesinambungan.

"Diharap lantikan Ahli Majlis bukan sebab ganjaran tetapi 'genuine'. Yang hendak berkhidmat patuh pada prosuder kerja PBT. Dari segi man power, ia lebih solid," kata beliau pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Pemerkasaan PBT 2019 di Bayan Baru pada Isnin.

Mengulas lanjut Zuraida berkata perkara itu masih lagi di peringkat perbincangan dan kertas kerja mengenai cadangan itu akan dibawa kepada Kabinet sebelum ia diluluskan.

Selain itu katanya, beberapa pindaan akta perlu dibuat berikutan akta sedia ada tidak menetapkan tempoh perkhimatan seseorang Ahli Majlis dan ia di bawah bidang kuasa negeri masing-masing.

Dalam pada itu, beliau turut meminta agar semua pegawai kerajaan, ahli politik dan Ahli Majlis dapat lebih serasi dan memahami antara satu sama lain sekaligus membolehkan mereka dapat melaksanakan tanggungjawab dengan lebih baik.

Katanya, perasaan syak wasangka sesama sendiri perlu dielakkan dalam setiap tugas agar hasil yang dinikmati kelak jauh lebih baik berbanding sebelum ini.

Konvensyen kali kedua yang dianjurkan KPKT hari ini menghimpunkan lebih 3,000 orang peserta yang terdiri daripada Datuk Bandar, Yang Dipertua, Setiausaha dan Ahli Majlis daripada PBT seluruh negara.

Bertemakan PBT Perkasa, Rakyat Sejahtera, konvensyen ini diadakan sebagai platform untuk semua warga kerja PBT mendengar aspirasi kerajaan terhadap pemerkasaan peranan PBT serta perkongsian amalan terbaik berkaitan isu-isu kerajaan tempatan.


Tag: ADUN, rakyat, PBT, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Parlimen, kabinet, kerajaan, Zuraida Kamaruddin



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.