Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang mengkaji mekanisme bagi membolehkan pihak bank mengkitiraf pendapatan sampingan golongan berpendapatan rendah (B40) sebagai sokongan memudahkan proses pembelian hartanah.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, langkah itu bagi membolehkan mereka yang melakukan perkerjaan sampingan seperti berniaga nasi lemak, menjadi pemandu e-hailing serta peniaga online (atas talian) membuat pelaburan hartanah di masa depan dengan membeli dan menjadi pemilik rumah.

"Sebab itu KPKT tengah melihat beberapa mekanisme yang mana bank boleh iktiraf pendapatan kedua (pemandu) Grab, jual nasi lemak, perniagaan online... kita akan cuba untuk mencari mekanisma yang membolehkan mereka menggunakan pendapatan sebagai sokongan kepada permohonan mereka untuk pembelian rumah," katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Jualan Rumah Satu Tingkat di Taman Ilmu Nibong Tebal pada Sabtu.

Zuraida berkata, buat masa ini, pihaknya sudah berbincang dengan pengendali syarikat e-hailing Grab Sdn Bhd dalam mencari kaedah bersesuaian bagi memastikan pendapatan yang diperolehi boleh digunakan untuk proses pembelian hartanah.

"Saya nak tekankan di sini golongan B40 terutamanya duit-duit yang diterima jangan dibelanja kepada perkara yang tidak berfaedah, biar mereka guna untuk beli rumah.

"Mereka akan jadi pemilik aset, pemilik rumah, pemilik hartanah... kita nak galakkan agar mereka juga menjadi pemilik hartanah, kalau tidak orang kaya-kaya sahaja (akan jadi pemilik hartanah), jadi ini masanya golongan B40 ini terlibat dalam pemilkan hartanah negara," katanya lagi.

Dalam pada itu, Zuraida berkata, pihak KPKT mengalu-alukan inisiatif pihak pemaju swasta, kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) membina rumah mampu milik untuk golongan B40.

Katanya dengan penglibatan semua pihak, beliau percaya sasaran pihak KPKT untuk membina sejuta rumah dalam tempoh 10 tahun akan tercapai.

Zuraida berkata, syarikat pemaju perumahan lain boleh mencontohi model pembinaan dan penjualan rumah mampu milik yang ditawarkan oleh Jualan Projek Perumahan (JKP).

Katanya, JKP menawarkan rumah yang berkualiti serta mampu dimiliki oleh golongan B40 malah harga yang ditawarkan juga 25 peratus lebih murah daripada harga pasaran.

Sementara itu, Zuraida berkata, pihaknya menggalakkan pemaju perumahan akan memperbanyakkan pembangunan dan juga pembinaan perumahan di bahagian Seberang Perai berikutan pembangunan di bahagian pulau terlalu padat.