Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah melantik peguam pemerhati untuk keluarga anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang meninggal dunia dalam kes rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman baru-baru ini.

Menurut Menteri KPKT, Zuraida Kamaruddin menerusi kenyataan medianya berkata, peguam bernama Syazlin Mansor bakal memberikan nasihat guaman kepada keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

"Selain memberikan khidmat nasihat guaman kepada keluarga Muhammad Adib dan JBPM, peguam pemerhati yang dilantik ini akan turut membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak pendakwaan dalam persediaan prosiding kes tersebut," katanya lagi.

Pada 17 Disember lalu, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab Rashid Ab Wahab memberitahu PDRM telah mengklasifikasikan semula kes Muhammad Adib sebagai kes bunuh.

Muhammad Adib, anggota bomba yang dipukul perusuh di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya bulan lalu telah meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialaminya.

KPKT lantik peguam pemerhati buat keluarga Allahyarham Muhammad Adib