Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid menegaskan kes salah laku kalangan pelajar di sekolah menurun daripada 0.08 peratus pada 2013 kepada 0.06 peratus pada 2015.

Jelasnya, walaupun peratusan menurun, namun kementeriannya akan sentiasa memastikan kes buli di sekolah tidak akan berulang.

"Berdasarkan statistik Kementerian Pendidikan Malaysia, rekod menunjukkan kes buli di sekolah pada tahun 2012: 4,159 kes, 2013; 4,120 kes, 2014; 2,825 kes, dan 2015; 2,968 kes," katanya semasa menjawab soalan Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latif Ahmad di dewan rakyat di sini hari ini.

Beliau mahu tahu apakah tindakan kementerian untuk membanteras kes buli di kalangan pelajar sekolah.

Jelasnya, kebanyakan kes adalah melibatkan kes buli fizikal.

Selain itu katanya, langkah menangani kes buli di sekolah termasuk memantapkan disiplin pelajar melalui jawatankuasa disiplin, mengadakan mesyuarat permuafakatan di sekolah, mengedarkan buku panduan tangani buli dan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Selain itu, Mesyuarat berskala dengan PDRM dalam tangani isu salah laku murid diadakan, merekodkan sahsiah murid serta mengadakan program intervensi termasuk program pengaruh rakan sebaya," ujarnya.