Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menafikan pengeluaran label pelekat khas yang digunakan untuk Program Susu Sekolah (PSS) kepada sebuah pengilang susu di Sabah, kata Menterinya Maszlee Malik pada Jumaat.

Beliau berkata kementeriannya akan menyiasat dengan segera dakwaan bahawa pelekat berkenaan ditemui pada susu coklat jenama Daily Dairy, iaitu produk susu milik sebuah syarikat yang dikenali sebagai Sabah International Dairies Sdn Bhd.

“Saya ingin menegaskan KPM tidak pernah memberikan kebenaran untuk penggunaan pelekat khas ke atas kotak susu sebagaimana yang ditularkan dan tindakan ini dilakukan oleh pihak syarikat tanpa merujuk KPM.

“Sehubungan itu saya telah mengarahkan siasatan dan arahan pemberhentian serta merta edaran dan pembelian susu ini telah dikeluarkan oleh KPM pada 21 Jun," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Maszlee, KPM memandang serius isu ini kerana ia melibatkan integriti perlaksanaan inisiatif KPM dan perbuatan tersebut menimbulkan kesangsian rakyat terhadap kualiti susu yang dibekalkan kepada murid-murid di sekolah.

Kenyataan media yang dikeluarkan oleh KPM berkenaan isu pelekat khas pada kotak susu bagi Program Susu Sekolah


Sebelum ini, Maszlee berkata beliau menerima aduan bahawa pelekat tanpa kebenaran kementeriannya itu ditemui pada produk susu tersebut.

Isu berkenaan menjadi tular di media sosial berikutan kecurigaan orang ramai tentang penglibatan kontrak susu negara dengan pembekal.

Pada masa sama, Maszlee menegaskan komitmen kementeriannya untuk memberikan yang terbaik kepada para pelajar sekolah, terutamanya golongan sasar warga miskin yang tergolong dalam senarai penerima bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) termasuk susu di sekolah.

“Sebarang bentuk salah laku integriti dalam isu ini akan disiasat kerana ianya melibatkan penyalahgunaan kuasa melibatkan dana untuk murid-murid miskin. Ini adalah sesuatu yang serius dan tidak boleh diterima,” katanya lagi.