Kertas Putih Pertahanan Negara (KPP) merangkumi strategi pertahanan negara yang akan dilaksanakan bagi tahun 2020-2030.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, KPP dibangunkan bagi mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terutama bagi berdepan perubahan geopolitik, teknologi ketenteraan dunia serta jenayah rentas sempadan.

Lebih inklusif lagi, KPP, tegas Mohamad, mempunyai lima objektif utama pertahanan negara yang dikenal pasti.

Lima objektif pertahanan negara telah dikenal pasti ialah pembangunan pelbagai domain bagi mengesan, mencegah dan menafikan sebarang bentuk ancaman, peningkatan daya ketahanan dalaman dengan melaksanakan pendekatan keseluruhan kerajaan dan keseluruhan masyarakat.

"Pengukuhan kapasiti pertahanan melalui perkongsian berwibawa dengan rakan antarabangsa, kemajuan industri pertahanan sebagai pemangkin ekonomi dan penginstitusian tadbir urus terbaik dan menjayakan reformasi organisasi" katanya
ketika membentangkan cadangan KPP di Dewan Rakyat pada Isnin.

Menurut beliau, KPP yang melibatkan rakyat serta pihak berkepentingan dalam pertahanan negara itu turut menjadi satu dokumen kerajaan dan dasar yang dipersetujui dalam kalangan agensi kerajaan.

Malah kebolehpercayaan juga ATM akan ditingkatkan sekali gus berupaya dan sentiasa siap siaga untuk melindungi kepentingan negara dan mempertahan kedaulatan dan keutuhan wilayah.

Sebagai perisai negara, struktur ATM juga, kata Mohamad, perlu dibentuk semula dalam menangani perubahan persekitaran keselamatan.

"Bahagian penting dalam pembangunan Angkatan Masa Hadapan ialah pelaburan jangka panjang kerajaan dalam meningkatkan kesiapsiagaan ATM dengan penyediaan aset dan kelengkapan yang diperlukan, keupayaan tenaga kerja yang berasaskan pengetahuan dan kemahiran ke arah askar pintar.

"Kerajaan beriltizam untuk membangunkan ATM agar menjadi angkatan yang bersepadu, tangkas dan berfokus yang mempunyai ciri utama iaitu kebersamaan, kebolehoperasian, berasaskan teknologi, keupayaan untuk beroperasi serentak dalam dua wilayah dan berorientasikan misi," sambung beliau lagi.

Dari sudut keperluan keupayaan, KPP, ujarnya, telah mengenalpasti 10 keperluan antaranya memperkukuhkan perisikan pertahanan ATM, membangunkan keupayaan aktiviti elektromagnetik sibber.

Tidak ketinggalan, meningkatkan keupayaan perisikan, pengawasan, perolehan sasaran dan peninjauan atau ISTAR.