Kren tumbang di tapak pembinaan kondominium di Taman Desa

Kren tumbang di tapak pembinaan kondominium di Taman Desa
Kren yang beroperasi di tapak pembinaan itu tumbang dan hampir terkena beberapa kenderaan yang berada di kondominium Tiara Faber. - Foto oleh penduduk
KUALA LUMPUR: Sebuah kren di sebuah tapak pembinaan komersial di Taman Desa dilaporkan tumbang di kawasan parkir kenderaan di kondominium bersebelahannya jam 2.13 petang pada Selasa.

Kren yang beroperasi di tapak pembinaan itu tumbang dan hampir terkena beberapa kenderaan yang berada di kondominium Tiara Faber.

Memetik laporan The Malaysian Insight, penyelaras media gabungan “Selamatkan Taman Desa,” M.Gunasekar menyalahkan pihak pemaju yang dikatakan ingin menyiapkan projek tersebut dalam masa singkat tanpa memikirkan isu keselamatan penduduk setempat.

Tapak pembinaan kontroversi itu terletak berhampiran dua buah sekolah rendah, sebuah sekolah menengah dan dua kawasan perumahan.

Ia dijangka bakal mendirikan kondominium setinggi 34 ke 42 tingkat dengan menyediakan 649 unit kediaman.

Astro AWANI akan mendapatkan reaksi penduduk dan pihak berkaitan berhubung isu ini.