announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Krisis COVID-19: Pakatan Harapan sedia kerjasama jika kerajaan mulakan langkah dwipartisan

Krisis COVID-19: Pakatan Harapan sedia kerjasama jika kerajaan mulakan langkah dwipartisan
PH tegaskan lebih banyak yang perlu dilakukan untuk membantu PKS yang menanggung kesan ekonomi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan.
KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Harapan menyambut baik usaha kerajaan memperkenalkan Pakej Rangsangan Prihatin Rakyat dengan menggunakan pendekatan yang lebih tulen untuk mengendalikan krisis negara ketika ini.

Dalam satu kenyataan, Pakatan Harapan memaklumkan mereka bersedia untuk memberi kerjasama jika kerajaan memulakan langkah dwipartisan yang tulus dan ikhlas.

“Kami mengalu-alukan pembayaran bantuan tunai ‘one-off’ RM1,600 untuk isi rumah dengan pendapatan bulanan bawah RM4,000, RM1,000 untuk isi rumah dengan pendapatan bulanan melebihi RM4,000, serta bantuan tunai kepada individu yang belum berkahwin dan mahasiswa.

“Pakej ini dilihat dapat bertahan dalam tempoh dua bulan, Namun begitu, ia tidak memberi banyak impak melangkaui tempoh dua bulan bagi ‘Mak Cik Kiah’ dan seluruh pekerja dan peniaga di Malaysia,” kenyataan itu menyebut.

Justeru, lebih banyak yang perlu dilakukan untuk membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang menanggung kesan ekonomi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kami berharap kerajaan akan mempertimbangkan suntikan fiskal yang lebih besar dalam beberapa minggu akan datang.

“Jika tidak ekonomi negara mungkin akan menjurus kepada keadaan lebih buruk dengan lebih banyak kehilangan pekerjaan.”

Kenyataan itu juga menambah, kerajaan perlu mengambil pendekatan dwipartisan untuk melakukan semaksimum mungkin untuk mengelakkan negara terjerumus ke dalam kemelesetan ekonomi yang belum pernah dihadapi sebelum ini.

“Pakatan Harapan menyeru kerajaan untuk meneruskan persidangan Parlimen pada 18 Mei 2020, atau membawanya ke hadapan, sebaik sahaja PKP berakhir.

“Ini akan membolehkan kerajaan dan pembangkang membentuk pelan tindakan secara dwipartisan supaya negara bergerak ke hadapan, termasuk merangka Belanjawan baharu dengan mengambil kira semua senario dan faktor yang terlibat.”


Tag: Pakatan Harapan, ekonomi, rakyat, PKS, Majlis Presiden Pakatan Harapan



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.