5,000 rakyat Malaysia di Doha dijangka tidak dapat pulang beraya di Malaysia susulan krisis diplomatik Qatar dengan negara Teluk.

Bagaimanapun, Presiden Persatuan Rakyat Malaysia di Qatar, Mohd Redzuan Nordin optimis situasi itu akan kembali reda dalam tempoh terdekat.

Jelasnya, selepas 24 jam, keadaan di Doha masih normal dan kerajaan Qatar sedang memantau perkembangan semasa.

Rakyat Malaysia juga telah diberitahu agar tidak panik dan menunggu arahan daripada pihak berkuasa.

"Ramai yang tanya saya, apa yang perlu dilakukan dan kita telah keluarkan satu kenyataan dalam Facebook untuk tenteramkan rakyat Malaysia di sini.

"Banyak juga yang dah beli tiket tetapi dah dipulangkan semula wang kepada pembeli, cuma sekarang rakyat fikir macam mana nak balik Raya nanti," ujarnya kepada Astro AWANI.


Tambahnya, persatuan yang mewakili kedutaan masih menunggu arahan pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Beliau juga memberitahu meskipun perhubungan darat, udara dan laut disekat dari negara Teluk, Qatar masih tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan bekalan makanan.

"Setakat ini tak ada sebenarnya. Qatar ada banyak negara lain seperti Turki dan Iran yang boleh sokong Qatar," katanya lagi.

Dalam pada itu, Redzuan turut meminta keluarga di Malaysia agar tidak khuatir dengan situasi mereka di Doha kerana semuanya dalam keadaan selamat.

Pada Isnin, Arab Saudi, Mesir, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar, sekali gus menutup laluan darat, laut serta hubungan udara.

Negara teluk itu menuduh Qatar menyokong kumpulan militan di rantau berkenaan.

Qatar bagaimanapun menafikan dakwaan berkenaan.