Kertas siasatan berhubung isu tanah Felda di Jalan Semarak di sini dijangka diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara, hujung minggu depan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata buat masa kini pihaknya masih menjalankan siasatan terperinci selain akan memanggil beberapa individu untuk direkodkan keterangan.

"Saya tidak boleh anggarkan berapa peratus siasatan telah siap. Ia bergantung kepada siasatan dan keterangan yang diambil oleh pegawai penyiasat.

"Tapi kita serius menjalankan siasatan ini dan berharap dapat menyerahkan siasatan pada minggu depan. Namun, ia bergantung kepada perkembangan siasatan yang dijalankan," katanya selepas melancarkan pejabat baharu Sekretariat ASEANPOL di Menara Bank Rakyat, di sini, hari ini.

Pada majlis sama, Mohamad Fuzi turut menyaksikan Jeneral Inspektor Polis Indonesia Yohanes Agus Mulyono menyerahkan tugasnya selaku Pengarah Eksekutif Sekretariat ASEANPOL, kepada Kolonel Polis Vietnam Kolonel Kenechanh Phommachack dan Pengarah Perkhidmatan Polis Sekretariat ASEANPOL, Superintenden Ferdinand R P Bartolome kepada Superintenden Jim Wee Aik Boon.

PDRM menubuhkan pasukan khas untuk menjalankan siasatan berhubung kes kehilangan hak empat bidang tanah Felda di Jalan Semarak.

Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak yang dianggarkan bernilai RM200 juta.
Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak yang dianggarkan bernilai RM200 juta. - Foto BERNAMA

Minggu lalu, bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad antara yang dipanggil memberi keterangan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman berhubung isu pemindahan hak milik tanah Felda itu.

Media sebelum ini melaporkan, Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak, yang dianggarkan bernilai RM200 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi yang diragui sejak 2015.