Gerak kerja Barisan Nasional (BN) dalam dua pilihan raya kecil (PRK) yang bakal diadakan di kawasan Parlimen Rompin dan Permatang Pauh tidak terjejas dengan kritikan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yakin pengundi akan melihat kepada calon yang akan mewakili BN dan perjuangan parti secara menyeluruh.

Pada masa sama, Hishammuddin berkata jentera BN turut diingatkan untuk bergerak atas nama parti tanpa dikaburi isu-isu semasa.

"Kerana fokus kita adalah untuk memenangkan calon kita dalam PRK," katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan istiadat penganugerahan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera (DKAT) sesi kedua 2014 kepada 358 penerima di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas sama ada beberapa kritikan Dr Mahathir terhadap Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN akan menjejaskan undian terhadap BN dalam kedua-dua PRK.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan turut mempersoalkan tujuan kritikan Dr Mahathir yang tidak henti-henti terhadap Perdana Menteri, yang umpama tiada penghujung.

"Bilakah ia akan berakhir, dan bilakah kita akan berhenti untuk menjawab semua tohmahan yang dibangkitkan hari demi hari, dan apakah kesudahannya?

"Jika kita teruskan, siapakah yang akan mentadbir negara, siapa yang akan memastikan keselamatan anak-anak kita di Yaman, siapakah yang akan memastikan anak-anak kita selamat kembali, dan negara kita tidak mengalami nasib sama seperti Syria, Yaman, Iraq dan Mesir," katanya.

Hishammuddin yakin kepimpinan negara masih mampu menguruskan apa jua persepsi yang wujud dalam kalangan masyarakat kini, hasil pelbagai kritikan.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga pengarah kedua-dua PRK, mengumumkan beliau akan dibantu Hishammuddin di Rompin dan seorang lagi Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Permatang Pauh.

PRK Rompin diadakan ekoran kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis pada 4 April lalu dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 22 April ini sebagai tarikh penamaan calon, dan 5 Mei sebagai hari mengundi.

PRK Parlimen Permatang Pauh pula diadakan selepas kerusi Parlimennya diisytihar kosong berikutan penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai Anggota Parlimen.

Hari penamaan calon bagi PRK Permatang Pauh ialah 25 April manakala hari mengundi ialah pada 7 Mei.