Berikut adalah kronologi insiden membabitkan pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terhempas sepanjang tahun ini:

* 26 Feb: Sebuah pesawat CN235 milik TUDM yang membawa lapan anak kapal mendarat cemas di pesisir pantai berhampiran Batu 2, Kuala Selangor berikutan kerosakan enjin.

Lapan anak kapal itu berjaya diselamatkan dengan bantuan nelayan tempatan di kawasan berkenaan.

* 17 Mei: Seorang jurulatih dan pelatih penerbangan TUDM terselamat selepas pesawat latihan Aermacchi MB339CM terhempas di kawasan sawah padi di Kampung Serum, Pekan, Pahang.

Pesawat itu terhempas akibat kerosakan teknikal semasa kesemua anak kapal menjalani latihan penerbangan.

* 4 Okt: Sebuah helikopter Nuri milik TUDM terhempas di atas bumbung Pusat Kemahiran Hidup, Sekolah Menengah Kebangsaan Balong di Tawau, Sabah.

Seramai 14 anggota tentera cedera semasa mereka sedang menjalani latihan penerbangan harian.

* 21 Dis: Seorang juruterbang TUDM maut manakala tiga lagi cedera apabila pesawat jenis Beechcraft B200T yang dinaiki mereka terhempas berhampiran Terminal Peluru Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang.

Menurut kenyataan TUDM, tiga yang cedera dalam kejadian kira-kira 5.18 petang itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya. Punca kejadian masih dalam siasatan. -- Bernama