Kesemua kru kapal tangki MT Orkim Harmony yang hilang sejak minggu lalu telah berjaya diselamatkan pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia TLDM kira-kira jam 2.30 pagi Jumaat, 19 Jun 2015.

Menurut kenyataan TLDM yang dikeluarkan hari ini, anak kapal yang terdiri daripada 16 warga Malaysia, 5 warga Indonesia dan seorang warga Myanmar didapati dalam keadaan selamat.

Salah seorang kru bagaimanapun mengalami kecederaan terkena tembakan di peha ketika rompakan berlaku pada 11 Jun lalu.

Kenyataan itu juga berkata, lapan perompak gagal diberkas. Mereka berjaya melarikan diri kira-kira 8.30 malam tadi menggunakan bot penyelamat kapal.

BACA: Orkim Harmony, kesemua kru diselamatkan, 8 perampas larikan diri

Berikut adalah kronologi kejadian rompakan kapal MT Orkim Harmony sehingga ia dikesan di perairan Kemboja.


*11 Jun 2015 - Kapal tangki MT Orkim Harmony terputus komunikasi dengan pangkalan pada 8.57 malam di Timur Tanjung Sedili, Kota Tinggi di Johor. Tiada panggilan kecemasan yang diterima daripada kapal itu.

*14 Jun 2015 - Pusat Laporan Kegiatan Melanun Biro Maritim Antarabangsa (IMB) mengesahkan menerima laporan mengenai sebuah kapal tangki membawa petrol RON95 anggaran 6,000 tan metrik dalam pelayaran dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan hilang di kedudukan 30 batu nautika timur. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengerahkan semua aset dan keupayaan untuk mengesan kapal itu.

*15 Jun 2015 - TLDM dan APMM memperluas kawasan pencarian bagi mengesan kapal itu meliputi 4,000 batu nautika persegi. Pada masa sama, Timbalan Ketua Pengarah Operasi APMM Laksamana Madya Maritim Datuk Ahmad Puzi menyatakan kehilangan kapal itu menjurus kepada rompakan lanun.

*16 Jun 2015 - Dua pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia dan sebuah pesawat milik APMM dikerah untuk mengesan kapal tersebut.

*17 Jun 2015 - Malaysia memperhebatkan pencarian menggunakan bantuan teknologi satelit daripada beberapa negara jiran untuk mengesan kedudukan terakhir kapal itu. Pesawat P3C Orion milik Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) mengesan kapal berkenaan di lokasi 210 batu nautika utara Pulau Redang pada 3.45 petang.

*18 Jun 2015 - Kapal tangki MT Orkim Harmony yang hilang dikesan berada di perairan Kemboja dan diawasi oleh pesawat TUDM, APMM dan RAAF. Kapal itu ditemui dalam keadaan selamat dan telah ditukar nama asalnya 'Orkim Harmony' kepada 'Kim Harmon' serta serombongnya dicat dengan warna hitam. Berikutan itu, TLDM mengambil alih misi SAR dan menghubungi perampas kapal menggunakan frekuensi radio supaya mereka melepaskan 22 kru kapal.

TLDM juga mengesahkan terdapat lapan perampas bersenjatakan pistol dan parang di dalam kapal itu dan mengadakan rundingan dengan kumpulan perampas itu supaya membebaskan anak kapal dan menyerah diri. Pada pukul 11 malam perampas kapal telah menukar laluan kapal tangki menuju
ke Pulau Natuna, Indonesia.

*19 Jun 2015 - APMM mengesahkan kesemua 22 anak kapal tangki MT Orkim Harmony berjaya dibebaskan kira-kira 2.30 pagi dan kapal itu akan dibawa ke Pelabuhan Kuantan diiringi KD Handalan yang dijangka tiba pada 2 pagi esok (20 Jun).

Selain itu, TLDM juga mengesahkan bahawa seorang tukang masak kapal itu iaitu warga Indonesia telah ditembak di sebelah paha kiri ketika kapal dirampas dan dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan bagi mendapatkan rawatan pada 10.15 pagi tadi, dan dilaporkan stabil.

Tiga pesawat iaitu P-3C Orion, C130 dan Beechcraft dihantar untuk menjejaki perampas yang melarikan diri daripada kapal tangki MT Orkim Harmony.

Lapan lelaki warga Indonesia yang dipercayai perampas kapal itu telah ditahan oleh pihak berkuasa Vietnam berhampiran Pulau Tho Chu, selatan Vietnam semasa cuba meloloskan diri daripada pemburuan pada 6.30 pagi.

Pihak TLDM dan APMM ketika ini masih lagi menunggu pengesahan daripada pihak berkuasa Vietnam sama ada lapan lelaki yang ditemui berhampiran perairan Vietnam pagi ini adalah perampas kapal tangki Malaysia.