Sebahagian daripada struktur jambatan kedua Pulau Pinang yang masih dalam pembinaan telah runtuh kira-kira jam 7 malam Khamis. Kejadian berlaku di kawasan darat di Batu Maung.

Berikut adalah kronologi kejadian runtuhan serta usaha-usaha menyelamat oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat sejak Khamis hingga hari ini:


Khamis, 6 Jun 2013.

6.50 petang : Penyambung susur keluar berukuran 30 meter Jambatan Kedua Pulau Pinang dalam pembinaan runtuh.

7.15 malam : Jabatan Polis Pulau Pinang menerima laporan runtuhan.

9.05 malam : Sebuah kereta iaitu Perodua Kelisa telah disahkan tertimbus, namun masih tidak diketahui terdapat berapa mangsa yang terperangkap.

9.30 malam : Difahamkan dua pemandu wanita yang memandu Perodua Myvi berjaya menyelamatkan dirinya.

11.30 malam : Kren seberat 300 tan digunakan dalam operasi yang disertai 110 anggota.

11.35 malam : Bomba telah mengesahkan satu mayat ditemui.

11.40 malam : Polis sahkan identiti tiga mangsa cedera.

11.45 malam : Polis menafikan laporan yang mengatakan empat individu telah meninggal dunia.

12.00 tengah malam : Kerja-kerja pembinaan juga digantung buat sementara namun pembinaan pada bahagian lainnya tidak terjejas.


Jumaat, 7 Jun 2013

3.05 pagi : Operasi menebuk bongkah konkrit bermula

5.30 pagi : Mangsa terperangkap masih gagal dikeluarkan

8.00 pagi : Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) akan membayar pampasan RM10,000 kepada setiap orang awam yang menjadi mangsa kejadian runtuhan.

8.05 pagi : JKSB memberi penjelasan besi penyokong pada struktur pembinaan jambatan tersebut dipercayai menjadi punca kepada runtuhan.

12.10 tengah hari : Polis mengakui operasi mengeluarkan mangsa mengalami kesukaran.

12.15 tengah hari: Polis memberitahu mangsa akan dikeluarkan paling lewat Jumaat malam.

2.00 petang : UEM Builders Bhd hari ini menjelaskan bahawa syarikat itu bukan kontraktor utama bagi projek Jambatan Kedua Pulau Pinang.

2.10 petang : Polis mengenal pasti pemilik kereta jenis Perodua Kelisa yang terperangkap di dalam runtuhan.

5:00 petang : Siasatan awal berhubung insiden runtuhan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (DOSH) memfokuskan kegagalan sokongan struktur.

9.00 malam : Mangsa runtuhan berjaya dikeluarkan pada jam sembilan malam, dalam operasi yang mengambil masa lebih 24 jam.