Krisis pencerobohan di pantai timur Sabah mula menjadi tumpuan apabila dua orang anggota keselamatan negara ditembak mati pada 1 Mac.

Berikut adalah rentetan peristiwa yang berlaku sejak 9 Februari lalu sehingga hari ini:

9 Februari: Kumpulan penceroboh memasuki perairan negara menggunakan bot pancung dan berkumpul secara berperingkat di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo, Lahad Datu.

11 Februari: Sebahagian daripada anggota kumpulan itu dikesan sekumpulan nelayan tempatan pada waktu malam dan nelayan tersebut membuat laporan polis mengenai lebih 100 lelaki berpakaian ala tentera dan bersenjata api berkampung di Kampung Tandou.

12 Februari: Kumpulan itu dikenal pasti berpecah di beberapa lokasi di kampung itu iaitu di kawasan sungai bakau kampung itu, sebuah surau di kampung itu dan rumah Ahmad Malandi atau dikenali Mad bon.

14 Februari: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan Malaysia akan melakukan yang terbaik termasuk melalui perundingan, bagi menangani isu pencerobohan tersebut sebelum mengusir mereka keluar dari kawasan itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata polis telah mengenal pasti kumpulan warga Filipina yang mendarat di pesisir pantai Lahad Datu, Sabah sebagai pewaris berketurunan 'Raja Sulu' dari Selatan Filipina.

Ismail berkata kumpulan terbabit menuntut mereka dikenali sebagai Askar Diraja Kesultanan Sulu dan mereka tidak mahu rakyatnya berketurunan Sulu dihantar pulang ke negara asal.

Beliau juga berkata rundingan dengan pihak bersenjata masih dijalankan bagi mencari jalan penyelesaian yang terbaik tanpa melibatkan pertumpahan darah.

Laporan memetik salah seorang anggota tentera Filipina yang merupakan pengikut setia Raja Muda Sulu, Raja Muda Azzimudie Kiram sebagai berkata kedatangan kumpulan tersebut selepas mendapat jemputan pihak pembangkang untuk membincangkan isu tanah di Sabah.

16 Februari: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan kumpulan tersebut bukan kumpulan militan atau pengganas sebaliknya penyokong kuat 'Kesultanan Sulu' dan menegaskan situasi di Kampung Tanduo adalah terkawal.

Kumpulan itu yang mahu dikenali sebagai 'Askar Diraja Kesultanan Sulu' antara lain menuntut Sabah dikembalikan ke wilayah kesultanan Sulu, kerana sebelum ia diambil British ia di bawah kerajaan Sulu.

18 Februari: Hishammuddin berkata kerajaan Malaysia dan Filipina sentiasa bekerja rapat dalam menyelesaikan konflik ini dan memberitahu ia akan dilakukan secara diplomasi tanpa sebarang pertumpahan darah.

24 Februari: Kerajaan Filipina menghantar sebuah kapal dalam misi kemanusiaan untuk membawa pulang kumpulan 180 anggota termasuk 30 pengawal bersenjata yang bertahan di Lahad Datu, Sabah sejak 12 Februari lalu.

26 Februari: Tempoh pengusiran mereka tamat namun rundingan masih dijalankan terhadap kumpulan penceroboh itu.

28 Februari: Kerajaan Malaysia digesa mengadakan rundingan secara terus dengan Sultan Jamalul Kiram III di Manila untuk menamatkan konflik perebutan kawasan di Lahad Datu, Sabah yang berlanjutan selama lebih tiga minggu.

Gesaan tersebut disuarakan adik bongsu Jamalul, Agbimuddin Kiram yang menegaskan hanya abangnya boleh mengarahkan kira-kira 180 'tentera diraja' meninggalkan Felda Sahabat 17, Lahad Datu.

1 Mac: Pertempuran tercetus antara pasukan keselamatan dan sekumpulan kecil kumpulan penceroboh ketika kumpulan terbabit cuba keluar daripada kepungan polis di Kampung Tanduo, menyebabkan dua anggota pasukan keselamatan terkorban serta tiga lagi cedera.Dua belas penceroboh bersenjata terbunuh.

2 Mac: Jenazah Inspektor Zulkifli Mamat dan Koperal Sabarudin Daud yang terkorban dalam pertempuran dengan sekumpulan penceroboh bersenjata di Lahad Datu tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada pukul 12.43 tengahari.

Jenazah Inspektor Zulkifli Mamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Gong Bayor, Jertih manakala jenazah Koperal Sabarudin Daud dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Makmuriah di Kampung Sungai Lias, Sungai Besar.

Pada hari yang sama, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman melawat dua anggota komando yang cedera iaitu anggota komando polis, Kpl Mohd Tarmizi Hashim, 32, dan Kpl Azman Ampong, 39, di Hospital Lahad Datu.

3 Mac: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengesahkan kesengitan di Semporna dengan penceroboh 'Kesultanan Sulu' berakhir dengan jumlah sebanyak 12 kematian, termasuk enam anggota polis. Insiden berkenaan berlaku di Kampung Sri Jaya, Siminul, Semporna, Sabah pada 2 Mac, jam 8 malam.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mahu kerajaan mengambil tindakan keras terhadap pihak penceroboh.

4 Mac: Jenazah Supt Ibrahim Lebar dari cawangan khas Bukit Aman, ASP Micheal Padel dari cawangan khas IPD Semporna, Sarjan Baharin Hami dari cawangan khas IPK Sabah, Sarjan Aziz Sarikun dari BN 14 PGA Tawau, Koperal Salam Togiran dari IPD Tawau dan Lans Koperal Mohd Azrul Tukiran dari BN 14 PGA Tawau dibawa ke kampung masing-masing.

Jenazah Allahyarham Supritendan Ibrahim Lebar, 52, dan Lans Koperal Mohd. Azrul Tukiran, 27 diterbangkan ke pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang dari Lapangan Terbang Tawau menggunakan pesawat Charlie. Jenazah mereka tiba pada jam 7 petang.

Semasa sidang media di Manila, Presiden Filipina Benigno Aquino III berkata pentadbiran beliau akan meneruskan membantu menyelesaikan pencerobohan di Sabah melalui jalan keamanan.

5 Mac: Pada jam 7 pagi, pasukan keselamatan melancarkan serangan ke Kampung Tanduo. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan mengumumkan serangan itu adalah "bagi menjaga maruah dan kedaulatan negara".

Operasi diberi nama Ops Daulat.

Pada 11 pagi, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dalam sidang media bersama Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin menyifatkan Ops Daulat itu mencapai objektif yang ditetapkan.

Dalam sidang media lebih kurang pukul 2 petang, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan tiada kematian dan kecederaan di pihak pasukan keselamatan.

Pada pukul 4 petang, Ketua Polis Negara mengadakan sidang akhbar mengatakan operasi susulan dan penggeledahan masih diteruskan kerana polis percaya masih ada musuh di kawasan itu.

Sehingga pukul 7 petang, polis belum mengesahkan jumlah kematian, kecederaan atau tangkapan di pihak anggota kumpulan penceroboh bersenjata itu.

6 Mac: Dalam satu sidang media bersama, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan tiga belas mayat pengganas dari Selatan Filipina ditemui di Kampung Tanduo susulan operasi menggeledah.

Korban itu termasuk seorang pengganas yang ditembak mati dalam satu pertempuran pada 6.45 pagi Rabu.

Sembilan daripada mayat itu ditemui dalam sebuah kubur.

Polis juga telah menahan empat lelaki dalam lingkungan umur 20 hingga 50 tahun yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan penceroboh di Kampung Sri Jaya Siminul, Semporna.

7 Mac: Jamalul Kiram III yang mendakwa dirinya sebagai waris Sultan Sulu, mengumumkan gencatan senjata pada pihak Kesultanan Sulu berkuatkuasa pukul 12.30 tengahari, menurut jurucakapnya, Abraham Idjirani.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang melawat Lahad Datu, menolak gesaan gencatan senjata dan mahu pengganas itu meletakkan senjata tanpa syarat serta serah diri.

Najib juga mengumumkan pembentukan sebuah kawasan keselamatan khas yang meliputi wilayah pantai timur Sabah dari Kudat ke Tawau.

Kawasan itu merangkumi daerah Sandakan, Semporna dan Lahad Datu.

Tan Sri Ismail Omar pula berkata setakat ini 52 orang pengganas Sulu termasuk ketua kumpulan itu yang berpangkat ‘jeneral’, telah terbunuh dalam Ops Daulat.

Rakyat Malaysia telah meluahkan perasaan terkejut serta jijik dengan tindakan tidak berperikemanusiaan penceroboh Sulu di Sabah yang dilaporkan telah mencacatkan anggota pasukan keselamatan negara yang terbunuh dipertempuran di Kampung Sri Jaya Siminul, Semporna.

8 Mac: Tan Sri Ismail Omar berkata lebih 50 individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan penceroboh militan di Lahad Datu ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Ismail berkata kumpulan pengganas dari Selatan Filipina yang menceroboh Sabah dan berkubu di dua kampung dekat Lahad Datu belum menunjukkan tanda-tanda mahu menyerah diri dan meletak senjata.
Beliau berkata, sehubungan itu, gerakan memburu saki-baki anggota kumpulan itu diteruskan.

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin pihaknya masih menunggu Wisma Putra berkaitan perkembangan kumpulan penceroboh akan menyerah diri dan meletak senjata tanpa syarat.

9 Mac: Keadaan di Felda Sahabat terkawal walaupun kedengaran beberapa bunyi siri letupan dilepaskan di 'ground zero' selepas 24 jam tiada pertempuran dilaporkan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar mengesahkan bahawa seorang penceroboh ditembak mati pada jam 8 pagi. Jumlah penceroboh yang ditembak mati adalah seramai 53 orang manakala seramai 79 suspek sudah ditangkap.

Pasukan keselamatan negara telah berjaya menahan seramai 27 suspek berhampiran kawasan pantai Kampung Tanjung Batu dalam operasi hari ini.

Pasukan forensik yang berpangkalan di timur Sabah akan melakukan bedah siasat mayat-mayat di kawasan tersebut hanya selepas proses pembersihan selesai.

Jamalul Kiram III, yang mendakwa dirinya sebagai Sultan Sulu mahu adakan ‘perbincangan’ dengan Malaysia untuk menyelesaikan krisis di timur Sabah.

Malaysia melalui Menteri Pertahanan Datuk Seri Zahid Hamidi bagaimanapun menolak ‘tawaran’ oleh Jamalul Kiram itu.

10 Mac: Tan Sri Ismail Omar berkata seorang remaja lelaki beusia antara 12 ke 15 tahun ditembak mati manakala seorang lelaki dewasa cedera di bahagian kakinya apabila anggota keselamatan Malaysia menembak sebuah belukar di Kampung Sungai Bilis pagi ini.

Beliau juga berkata dua orang lelaki dan tiga orang perempuan ditahan untuk siasatan di tempat yang sama.

Manakala, di Semporna, enam orang yang dipercayai ada kaitan dengan penceroboh Sulu di Sabah ditahan dalam dua kejadian yang berasingan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib pula berkata dua anggota pasukan keselamatan telah cedera ditembak peceroboh dalam satu kejadian berbalas tembakan di Tanjung Batu yang bermula dari 8 malam hingga 4 pagi tadi (Sabtu).

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula berkata Malaysia mahu penceroboh Sulu ini samada ditembak mati atau ditangkap hidup-hidup untuk dibicarakan mengikut undang-undang.

Manakala, sekumpulan wartawan dan jurugambar menempuh pengalaman mendebarkan apabila terserempak anggota militan bersenjata ketika membuat tinjauan di Kampung Tanjung Labian.

11 Mac: Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib menyatakan siasatan forensik masih lagi dilakukan untuk mengenalpasti identiti mayat seorang pengganas Sulu yang berpangkat Jeneral yang dipercayai sebagai Komander Haji Musa.

Siasatan dilakukan setelah pihak keselamatan menjumpai pakaian seragam pengganas Sulu yang mempunyai pangkat Jeneral di kawasan operasi di kawasan Kampung Tanduo.

Gerakan operasi ‘mopping-out’ kini giat diperhebat dan lebih menfokuskan kawasan Kampung Tanjung Batu dan Sungai Bilis.

Walaupun begitu, keadaan keselamatan di Bandar Lahad Datu dan Semporna yang tegang sebelum ini telah kembali kepada keadaan normal dengan urusan perniagaan berjalan seperti biasa dibawah kawalan pasukan keselamatan.

Usaha untuk mengeluarkan mayat-mayat pengganas di kawasan operasi pihak keselamatan masih lagi berlangsung.

Sehingga kini, 54 pengganas Sulu telah terbunuh dalam pertempuran dengan pihak keselamatan namun hanya 22 mayat sahaja berjaya dikeluarkan dari kawasan operasi ‘mopping-out’ di Kampung Tanduo dan Kampung Tanjung Batu.

18 dari 22 mayat pengganas Sulu yang kebanyakannya telah reput dan busuk telah dibawa ke Hospital Lahad Datu manakala selebihnya pula telah dihantar ke Hospital Tawau untuk proses bedah siasat.

97 orang yang mempunyai kaitan dengan pengganas Sulu telah ditahan oleh polis sementara 125 orang ditahan kerana cuba memasuki kawasan operasi pihak keselamatan.

Polis turut menafikan pasukan keselamatan melakukan kekerasan dan kekejaman dengan menyasarkan tembakan kepada kanak-kanak. Ini susulan seorang budak berumur sekitar 12 hingga 15 tahun terbunuh setelah ditembak pihak keselamatan di satu belukar di Kampung Sungai Bilis Ahad lalu.

Penduduk tempatan pula diingatkan untuk tidak memasuki kawasan operasi pasukan keselamatan

Sementara itu, keluarga Kiram sedia berundur pasukan militannya dari Lahad Datu demi menghentikan konflik di kawasan itu dan wakil 'Sultan Sulu' telah memohon kebenaran untuk ke Sabah demi berbincang untuk penyelesaian konflik berdarah itu.

12 Mac: Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin mengesahkan bahawa seorang tentera Malaysia terkorban dalam satu insiden pertempuran di Kampung Tanjung Batu, Lahad Datu pagi ini semasa diserang hendap oleh kumpulan pengganas

Beliau juga berkata dalam pertempuran itu tiga orang anggota pengganas turut terbunuh.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata seorang lagi anggota tentera meninggal dunia apabila terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Lahad Datu hari ini.

Dalam perkembangan yang lain, Hamza mengesahkan dua pengganas ditembak mati dalam pertempuran pagi tadi. Beliau berkata seorang lagi penceroboh yang terkena tembakan sempat melarikan diri.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata jenazah Allahyarham Prebet Mohd Hurairah Ismail yang maut dalam pertempuran dengan pengganas di Lahad Datu dijangka diterbangkan ke Lapangan Terbang Pengkalan Chepa pada jam 4 pagi Rabu.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bantuan ehsan wang tunai RM1,000 kepada setiap keluarga, bantuan pembinaan semula rumah yang musnah dengan kos setiap rumah RM50,000 serta pembaikan kecil untuk rumah yang rosak, dan penjadualan semula bayaran pinjaman kepada penduduk yang berniaga dan meminjam daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA), Tabung Ekonomi Usahawan Nasional (Tekun Nasional) dan Amanah Ikhtiar.

Sementara itu, adik Jamalul Kiram III, Esmail Kiram II sedang berusaha mendapatkan penjelasan daripada kerajaan Malaysia ketika pasukan keselamatan negara terus memburu pengganas di Lahad Datu.

13 Mac: Jenazah Koperal Ahmad Hurairah Ismail dan Koperal Ahmad Farhan Ruslan selamat dikebumikan di kampong halaman masing-masing.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata dua anggota tentera yang terkorban itu dinaikkan pangkat kepada Koperal penuh.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib percaya ketua kumpulan penceroboh militan Agbimuddin Kiram masih terkepung di kawasan operasi.

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata dua lagi mayat pengganas Sulu yang bertempur dengan pasukan keselamatan di Sungai Nyamuk di Tanjung Batu semalam ditemui hari ini.

Beliau berkata turut ditemui di kawasan itu ialah selaras senapang jenis M1 Garand dan sepucuk pistol Colt.45.

Selain itu juga, pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membawa masuk beberapa aset-aset pertahan mereka dalam mengukuhkan pertahanan di kawasan yang terlibat termasuk helikopter dari Pasukan Udara Tentera Darat dan 12 kereta perisai (Armoured Personnel Carrier).

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata polis akan menggembleng guna tenaga semua keanggotaannya dalam pasukan itu untuk ditambahkan lagi dalam usaha Operasi Daulati.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail menjelaskan seorang remaja berumur 12 tahun yang ditembak oleh pihak keselamatan di sebuah belukar di Tanjung Batu tempoh hari mempunyai pertalian dengan salah seorang lelaki yang ditahan beramai-ramai di sekitar kawasan itu.

Manakala, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Liow berkata pihaknya sudah menyediakan empat kontena untuk menempatkan mayat-mayat penceroboh Sulu.

14 Mac: Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata seorang lelaki yang membawa bungkusan yang mengandungi dua bilah pedang samurai serta tiga parang panjang ditahan oleh pihak polis semasa suatu sekatan jalan di Jalan Tanjung Labian, Lahad Datu kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan pihak pengganas.

Anggota Parlimen Batu dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Tian Chua dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menyebut perkataan menghasut berhubung isu Lahad Datu.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Zahid Hamidi berkata seramai 35 pengikut waris Jamalul Kiram III yang ditahan di Filipina semalam akan didakwa di mahkamah negara itu dalam masa terdekat.

Ahmad Zahid juga berkata Gazmin telah memberi jaminan bahawa Filipina akan memberi kerjasama jangka masa panjang untuk menyekat orang-orang mereka daripada memasuki perairan Malaysia secara haram.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan juga diumumkan akan kini bertanggungjawab menjaga perairan timur Sabah sepanjang 1,400 km yang sebelum ini di bawah tanggungjawab Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata Malaysia tidak menolak kemungkinan menubuhkan Suruhanjaya Diraja (RCI) atau membuka kertas putih bagi menyiasat dakwaan kemungkinan ada pihak yang menjadi dalang di sebalik insiden pencerobohan di Lahad Datu.

Juga, Kementerian Kesihatan mengumumkan akan menyediakan sebuah hospital bergerak terletak di Felda Sahabat, Lahad Datu bagi menampung keperluan dan perkhidmatan kesihatan di zon konflik itu.

15 Mac: Ketua kumpulan pengganas Sulu, Azzimudie Kiram dipercayai telah melarikan diri dari Lahad Datu, Sabah dan kembali ke tempat asalnya di Selatan Filipina.

Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Jeneral Zulkifeli Mohd Zin berkata Azzimudie dipercayai telah melarikan diri dari Lahad Datu, Sabah dan kembali ke tempat asalnya di Selatan Filipina.

Katanya pasukan keselamatan membuat kesimpulan tersebut selepas menganalisa maklumat yang diterima daripada sumber risikan.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata anggota pasukan keselamatan menjumpai tiga kubur baru di Kampung Tanduo.

Menurut beliau, kubur-kubur itu mengandungi 15 mayat dan berada berhampiran dengan sebuah kubur besar yang ditemui di sana 10 hari lalu.

Hamza berkata setakat ini 61 orang Sulu telah ditembak mati dan 27 mayat telah berjaya dikeluarkan dari tempat pertempuran.

Polis juga telah menahan lapan pemuda dari Filipina yang menaiki bot laju untuk memasuki kawasan operasi di Kampung Sungai Bilis semalam.

Hamza berkata pemuda-pemuda itu yang berusia dalam lingkungan 17 ke 18 tahun cuba membawa 300 bekas air kosong dan wang tunai 369,000 pesos (RM28,300).

16 Mac: Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa hari ini menyatakan satu mesyuarat berhubung kawasan yang dipanggil Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) akan diadakan segera bagi membincangkan perkara berhubung penubuhan kawasan keselamatan khas Sabah.

Ini berikutan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengenai penubuhan ESSCOM untuk menjamin keselamatan dan kedaulatan negara.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib semasa sidang media di Lahad Datu hari ini mengatakan Malaysia akan memastikan ketua pengganas Sulu, Azimuddie Kiram dihadapkan ke muka pengadilan untuk bertanggungjawab ke atas perbuatannya.

Menurut beliau kerjasama diantara kerajaan Malaysia dan Filipina akan dapat memastikan Azimuddie dihadapkan ke mahkamah jika dia ditangkap.

Pada sidang media yang sama, Hamza menegaskan bahawa pasukan keselamatan perlu memastikan kawasan penduduk betul-betul selamat sebelum membenarkan mereka kembali ke rumah masing-masing.

Ini kerana kawasan tersebut dikhuatiri terdapat jerangkap ditinggalkan musuh serta kesan serangan yang dilakukan pihak keselamatan.

Sementara itu anggota keselamatan hari ini telah menahan seorang lelaki yang dipercayai pengganas Sulu di kawasan Felda Sahabat 17.

Menurut Hamza, suspek ditahan pada pukul 6.30 pagi ketika pasukan keselamatan sedang menjalankan operasi dan suspek telah dibawa ke balai polis berhampiran untuk siasatan lanjut.

Operasi ‘mopping-out’ atau penggeledahan masih lagi diteruskan dan kawasan operasi telah tertumpu ke kawasan Tanjung Batu.

Selain dari pemeriksaan rumah ke rumah, pasukan keselamatan juga menumpukan usaha penggeledahan di kawasan ladang kelapa sawit dan hutan belukar.

Berhubung dakwaan terdapat tokoh pembangkang di Filipina membiayai keluarga Jamalul Kiram III untuk menceroboh Lahad Datu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Malaysia akan menggunakan saluran diplomatik untuk mendapatkan maklumat daripada kerajaan Filipina.

Beliau turut menyatakan bahawa beliau ada membaca kenyataan setiausaha pertahanan Filipina, Voltaire T Gazmin yang menyatakan kerajaan Filipina telah menemui beberapa bukti berhubung insiden itu.

Dalam satu kenyataan di Perak, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyangkal dakwaan media Filipina kononnya disekat daripada mendapat gambaran sebenar Operasi Daulat di Lahat Datu.

Menurut beliau, kerajaan akan berbincang bagi membenarkan diplomat Filipina di negara ini melawat suspek pengganas Sulu yang ditahan.

17 Mac: Leftenan Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim memberitahu pemberita pada sidang media di Lahad Datu hari ini bahawa anggota keselamatan negara telah bertembung dengan kumpulan musuh yang terdiri dari empat orang.

Seorang daripadanya telah berjaya ditembak mati pada pukul 10:15 pagi tadi.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata saki-baki musuh dilihat sudah bergerak dalam kumpulan kecil dan beliau berharap orang ramai tidak memasuki kawasan operasi.

Beliau menambah, hampir 80 peratus daripada bedah siasat ke atas mayat pengganas Sulu yang terbunuh dalam operasi Ops Daulat telah dilengkapkan.

Pada sidang media yang sama, Hamza berkata setakat ini seramai 104 orang telah ditahan dibawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) 2012 (Sosma) manakala 241 orang lagi telah ditahan dibawah akta-akta lain.

Selain itu beliau berkata proses menjejaki musuh, pemeriksaan dan pengeledahan sedang giat dijalankan dan Kampung Tanjung Batu dijangka akan dibersihkan serta selamat dari pengganas Sulu secara sepenuhnya esok.

Sementara itu, Timbalan Ketua Bahagian Umno Semporna, Datuk Seri Nasir Sakaran hari ini menyatakan keyakinan beliau bahawa pilihan raya dapat dilakukan dengan lancar di kawasan parlimen itu.

Tun Dr Mahathir Mohamad menyarankan kesesuaian persenjataan termasuk logistik perlu diambil kira agar pasukan keselamatan negara mendapat kelengkapan alatan kententeraan yang sesuai mengikut keadaan.

18 Mac: Pasukan keselamatan telah bertempur dengan saki baki pengganas Sulu di kampung Tanjung Batu, Felda Sahabat 22, pagi tadi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dalam sidang media pagi Isnin berkata pihaknya percaya ada musuh yang cedera atau terbunuh tetapi beliau belum menerima laporan mengenainya.

Sementara itu, kawasan persisiran pantai Felda Sahabat akan menjadi kawasan pertama pengukuhan pertahanan negara melalui pembinaan pos kawalan baru yang diperkukuh dengan peningkatan kekuatan anggota pasukan keselamatan di bawah Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (Esscom).

Cadangan itu akan dilaksana dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Panglima Medan Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim berkata, Ops Pasir yang dilaksanakan Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB) bagi mengawal 1,400 kilometer pantai Sabah akan diteruskan walaupun Esscom diwujudkan.

Beberapa buah kereta perisai berantai yang tiba di Lahad Datu adalah untuk meningkatkan kekuatan pasukan keselamatan dalam Ops Daulat.

Menurut Panglima Divisyen Pertama Infantri, Mejar Jeneral Datuk Mohd Zaki Mokhtar, kereta-kereta perisai itu dibawa dari Semenanjung Malaysia untuk mengukuhkan lagi operasi serta mendominasi kawasan-kawasan Tanjung Labian apabila operasi tamat.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib menolak kenyataan ketua pengganas, Jamalul Kiram III mengenai genjatan sejata.

Katanya, beliau tidak pernah mempercayai kata-kata Kiram mahupun ahli keluarganya sejak hari pertama lagi.

Hamza juga memaklumkan, dua pertempuran yang berlaku pagi tadi tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Kekuatan pasukan ketenteraan terus ditambah dalam usaha menghapuskan saki baki penganas Sulu.

Petang tadi pula, sebanyak 17 kenderaan perisai jenis 'armoured personnel carrier' (APC) Adnan tiba di Lahad Datu sebelum dibawa ke Felda Sahabat.

Kenderaan perisai itu tiba di bandar Cenderawasih dari Tawau kira-kira pukul 5 petang Isnin.

Dibawa dengan lori pengangkut, ia turut diiringi 17 trak tentera yang dipenuhi anggota tentera.

Setakat ini jumlah tangkapan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 masih 104 dan tangkapan bagi kesalahan-kesalahan lain, 240.

Mayat yang telah dikeluarkan pula sebanyak 28 dan jumlah musuh yang telah ditembak mati, 62.

Ops Daulat yang telah memasuki hari ke-14 telah mengorbankan sembilan anggota keselamatan negara, manakala sembilan lagi cedera.

20 Mac: Lapan lelaki Filipina telah didakwa di Mahkamah Majistret sementara di ibu pejabat polis Lahad Datu kerana melancarkan perang terhadap Yang Pertuan Agong dan penglibatan dalam aktiviti keganasan.

Suspek yang berusia antara 17 dan 67 tahun telah didakwa bawah Seksyen 130 Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan pengganas dan di bawah Seksyen 121 akta yang sama kerana melancarkan perang terhadap Yang Pertuan Agong.

Ia adalah tuduhan pertama yang sedang dijalankan di tengah-tengah pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu.

Kes itu bagaimanapun telah dipindahkan kepada ke Mahkamah Tinggi Tawau.

Dalam perkembangan yang sama juga, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata bedah siasat pada 28 mayat pengganas Sulu telah siap dan untuk mengelakkan faktor kesihatan dan ruang yang tidak mencukupi di rumah mayat Hospital Lahad Datu dan Hospital Tawau, semua mayat akan dikebumikan di lokasi sementara yang tidak didedahkan.

Selain itu, Ketua Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata operasi ‘mopping-out'oleh pasukan keselamatan di kawasan kampung Tanjung Batu akan mengambil beberapa hari lagi sebelum penduduk kampung dibenarkan untuk kembali ke rumah-rumah mereka.

Pada masa yang sama juga, satu mayat musuh telah ditemui dan ia dipercayai bahawa lelaki itu dibunuh semasa pertempuran dengan pasukan keselamatan pada 6 Mac.

Mayat tersebut akan diambil keluar dari kawasan itu hari ini.

21 Mac: Satu pertempuran di kampung Tanjung Batu berlaku tengahari semalam menyebabkan seorang musuh dibunuh dan seorang wanita telah berjaya ditangkap oleh pihak keselamatan.

Ketua Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata kepada pemberita, seorang anggota ATM tercedera kerana terkena serpihan peluru di jari kiri semasa satu pertempuran pada pukul 11:30 pagi semalam.

Walaubagaimanapun, anggota ATM tersebut berada dalam keadaan stabil setelah pembedahan mengeluarkan serpihan peluru itu telah selamat dilakukan.

Sementara itu, lapan warga Filipina yang berdepan dengan hukuman mati dan penjara seumur hidup atas pertuduhan melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong dan menjadi ahli kumpulan pengganas, hari ini didakwa di Mahkamah Tinggi di Tawau.

Kira-kira 40 anggota lengkap bersenjata berada di sekitar kawasan mahkamah tersebut yang telah ditutup kepada orang awam bermula 5.30 petang semalam.

Kawasan luar mahkamah juga disita dan dikawal. Hanya pekerja mahkamah dibenar masuk ke mahkamah manakala wartawan hanya dibenar berada di luar kawasan.

Peguam Negara Tan Sri Gani Patail dilihat memasuki mahkamah pada pukul 8.23 pagi.

22 Mac: Polis telah menyiasat insiden yang berlaku di Kampung Kembara Sakti, Lahad Datu namun masih tidak dapat memastikan insiden itu ada kaitan dengan pengganas atau tidak.

Ini berikutan susulan sebuah rumah di kampung itu yang dijilat api pada malam Khamis dan pihak berkuasa mempercayai kejadian tersebut lebih menjurus kepada kecuaian pemilik rumah tersebut.

Dalam satu sidang media di Lahad Datu, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Tan Kok Lian mengesahkan kejadian tersebut namun menafikan adanya tembak menembak berlaku pada kejadian itu.

Sehingga kini, tiada petunjuk yang kukuh menunjukan kejadian itu berpunca dari angkara pihak pengganas.

Pihaknya telah meletakan beberapa anggota keselamatan di kampung itu demi untuk meyakinkan penduduk tentang faktor keselamatan.

Sehingga hari ini, jumlah pengganas yang berjaya ditewaskan masih lagi kekal sebanyak 63 orang manakala mayat musuh yang telah dibawa keluar dari kawasan konflik juga kekal dengan 30 mayat.

Jumlah anggota keselamatan negara yang gugur di medan pertempuran juga masih lagi tidak berubah iaitu sebanyak 10 orang.

Dalam masa yang sama juga, pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersama-sama dengan pegawai pejabat daerah telah mula membuat penilaian kerosakan harta benda di kawasan-kawasan terlibat di Lahad Datu bagi mentaksirkan jumlah kerugian yang dialami oleh mangsa.

Dalam masa yang sama juga, Jamalul Kiram III yang mendakwa dirinya sebagai Sultan Sulu berkata pendakwaan keatas lapan warga Filipina atas tuduhan pengganas dan melancarkan perang terhadap Yang diPertuan Agong adalah “tidak sah” atas alasan Malaysia tidak ‘memiliki’ Sabah.

Namun, dakwaan Jamalul Kiram III telah disangkal dan diberi amaran oleh Peguam Negara Tan Sri Gani Patail yang mengatakan bahawa Jamalul Kiram III juga akan didakwa atas tuduhan yang sama andainya dia menjejakan kaki ke Sabah.

Malah beberapa peguam dan pengamal undang-undang turut bersetuju dengan tuduhan yang dikenakan oleh kerajaan Malaysia terhadap lapan suspek pengganas yang dihadapkan ke mahkamah pada Khamis.

23 Mac: Pasukan keselamatan negara telah menangkap dua orang penting dalam insiden di Lahad Datu dalam dua tangkapan berasingan.

Dua orang tersebut adalah seorang rakyat tempatan yang selama ini membekalkan makanan, minuman, ubat-ubatan, pengangkutan dan tempat tinggal untuk kumpulan Sulu, serta seorang pemerintah tentera pengganas Filipina.

Sementara itu, Jamalul Kiram III menafikan bahawa kelapan-lapan pengganas yang telah didakwa adalah rakyat Filipina, sebaliknya adalah rakyat Malaysia.

24 Mac: Empat mayat termasuk dua kanak-kanak dipercayai mempunyai kaitan dengan pengganas ditemui oleh anggota pasukan keselamatan dalam sebuah rumah di Kampung Tanjung Batu.

Penemuan mayat yang dipercayai mati akibat terlibat dalam pertempuran dengan pihak keselamatan negara pada pagi berlaku selepas anggota keselamatan ternampak kelibat dua pengganas di kawasan itu.

Tiada dijumpai sebarang maklumat pengenalan diri pada mayat-mayat tersebut namun beberapa bekalan makanan ditemui dalam rumah dimana mayat-mayat itu dijumpai.

Seorang kanak-kanak lelaki yang cedera juga dijumpai dalam rumah itu dan telah diterbangkan ke Hospital Sandakan untuk rawatan lanjut.

Berlaku beberapa pertempuran sebelum itu yang turut mengakibatkan sebuah rumah terbakar dan seorang anggota tentera cedera di tembak di kaki ketika cuba mendekati sebuah rumah yang digunakan oleh pengganas untuk bertahan.

Manakala, identiti ketua panglima pengganas dan isterinya yang ditahan di Semporna pada Sabtu dikenali sebagai Datu Amir Baha Hushin Kiram

Selain Datu dan isterinya, polis juga berjaya menangkap seorang warga tempatan dan isteri kerana membekalkan makanan, minuman, perubatan, pengangkutan, dan tempat tinggal kepada kumpulan pengganas Sulu.

Sehingga hari ini, seramai 416 orang telah ditahan termasuk 110 orang ditahan di bawah Akta Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012.

Sementara itu, penduduk Kampung Tanduo akan kembali ke rumah masing-masing untuk meneruskan kehidupan seharian mereka seperti biasa, selepas kampung itu diisytiharkan bersih pada minggu lepas.

Penduduk tersebut dijangka kembali ke rumah masing-masing selewat-lewatnya pada hari Selasa.

Ketua keluarga dan ketua kampung akan dibawa ke dalam kampung itu untuk menilai keadaan rumah mereka.

Mereka akan diiringi oleh wakil pejabat daerah dan pasukan keselamatan.