Kuala Lumpur-Seoul memeterai empat Memorandum Persefahaman (MoU) pada hari akhir lawatan kerja rasmi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke negara itu.

MoU berkenaan melibatkan teknologi maklumat dan komunikasi, kerajaan digital, penjagaan kesihatan dan sains perubatan serta pengurusan air dan pembetungan.

Majlis pemeteraian MoU disaksikan Dr Mahathir dan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in di Blue House.

Bagi Malaysia, MoU ditandatangani oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Datuk Dr Xavier Jayakumar Arulanandam.

Korea Selatan pula diwakili Menteri Sains dan Teknologi Maklumat Korea Selatan, Choi Kiyoung, Menteri Keselamatan Dalam Negeri Korea Selatan, Chin Young, Menteri Kesihatan dan Kebajikan Korea Selatan, Park Neunghoo, dan Menteri Kesihatan dan Alam Sekitar Korea Selatan, Cho Myung-rae.

Kedua-dua pihak juga membincangkan usaha meningkatkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara menjadi satu perkongsian strategik terutama dalam pelaburan dan perdagangan.

Pada masa sama, kedua-dua pemimpin membincangkan berhubung isu kepentingan bersama di peringkat serantau dan antarabangsa.

Tun Dr Mahathir juga melahirkan penghargaan kepada Korea Selatan atas sambutan rasmi diberikan kepada Malaysia.

“Saya rasa seperti berada di rumah ketika di sini. Saya juga telah melawat Korea banyak kali dan saya melihat Korea sejak mula dan mereka pernah berada di belakang Korea,” katanya semasa Mesyuarat Dua Hala Kuala Lumpur-Seoul, di Blue House, Seoul.

Namun, kata Perdana Menteri, Korea Selatan hari ini menunjukkan perkembangan yang menakjubkan terutama dari segi teknologi.

Pada masa masa, Malaysia memberi sokongan sepenuhnya kepada usaha perdamaian konflik antara Korea Selatan dan Korea Utara.

“Saya telah melihat banyak idea dan hubungan kerjasama antara banyak negara dan cadangan mewujudkan zon keamanan antrabangsa juga sangat dialu-alukan Malaysia.

“Malaysia mengalu-alukan dan menyokong gerakan keamanan ini dalam usaha mengurangkan konflik di Semenanjung Korea,” tambah beliau.

Ini merupakan lawatan rasmi pertama Tun Dr Mahathir ke Korea Selatan selepas dilantik menjadi Perdana Menteri ketujuh Malaysia pada Mei 2018.