Malaysia masih belum memutuskan hubungan diplomatik dengan Korea Utara bagi membolehkan usaha rundingan dibuat dengan Pyongyang susulan larangan keluar rakyat Malaysia di negara berkenaan, ujar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Jelasnya, Kuala Lumpur juga sedang teliti apa kehendak sebenar Pyongyang.

"Buat masa ini (hubungan diplomatik dengan Korea Utara) masih lagi berjalan kerana kita memerlukan saluran itu untuk bercakap dan berunding dengan mereka. Kita tidak akan menutup kedutaan (Korea Utara) di sini," katanya semasa ditemui media di lobi parlimen.

Ketika ini kata Perdana Menteri, rakyat Malaysia di negara itu selamat dan tidak dikurung.

"Kita utamakan keselamatan rakyat Malaysia di Korea Utara. Rakyat kita di sana tidak dikurung. Jadi tidak ada kebimbangan rakyat kita sana. Malaysia sedang teliti apa kehendak sebenar kerajaan korea utara," ujarnya.

Jelasnya, Malaysia kekal dengan keputusan untuk tidak benarkan rakyatnya keluar dari negara ini.

"Kita juga minta polis menjalankan siasatan terhadap punca dan sebab siapa bertanggungjawab pembunuhan mendiang Kim Jong.Kita masih menunggu pengesahan identitinya sebab analisa DNA belum selesai , banyak proses lagi. Susah sebab ramai tidak tampil barangkali takut nak tampil, " kata beliau lagi.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan, rundingan dengan Korea Utara tidak akan dilakukan melalui media demi keselamatan rakyat Malaysia di negara itu.

"Kita ada cara kita tapi kita tidak mahu sebut, sebab yang saya utamakan ialah keselamatan rakyat Malaysia.

"Kalau apa-apa pun kita ada tindakan susulan tetapi oleh kerana ini sensitif dan kita mesti utamakan rakyat Malaysia, jadi kalau ada rundingan pun ia tidak boleh melalui media," jelasnya lagi.

Ditanya sama ada Malaysia akan membawa usul ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengenai tindakan Korea Utara, ini jawapan beliau:

"Kita akan lihat perkembangannya sebab saya ada beberapa perkara saya mintak dilaksanakan, saya tak boleh maklumkan,"

Buat masa ini tegas Perdana Menteri, beliau tidak akan mendedahkan semua pendekatan akan digunakan Malaysia susulan perkara berkenaan demi memastikan proses rundingan berjalan lancar.

"Kita adalah negara yang sangat jarang (kerjasama) atau mesra dengan mereka. Jadi kita tidak memilih jalan perbalahan dengan Korea Utara. Namun, jika berlaku jenayah terutama melibatkan penggunaan senjata kimia di Malaysia, maka kami ada hak untuk melindungi kepentingan Malaysia," kata Najib .