Tutup

Kualiti air kolam takungan Orang Asli Batek di Kuala Koh keruh - JAS

Kualiti air kolam takungan Orang Asli Batek di Kuala Koh keruh - JAS
Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Kelantan mendedahkan, hasil pemerhatian awal yang dilakukan semasa pengambilan sampel air di kolam takungan mendapati tahap kualitinya keruh. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Kelantan mendedahkan, hasil pemerhatian awal yang dilakukan semasa pengambilan sampel air di kolam takungan mendapati tahap kualitinya keruh.

Bagaimanapun, Pengarahnya, Hamzah Mohamad berkata, kualiti air di kawasan tanda air berada pada tahap jernih.

Jelasnya lagi, ujian pengambilan bacaan parameter air dilakukan semula pada Isnin.

"Sebenarnya kawasan ini dalam kawasan pemantauan JAS di mana kali terakhir kita memasuki kawasan ini pada April yang lepas dan tidak mengesan apa-apa sisa aktiviti perlombongan, kita lawat perkampungan Orang Asli dan tidak mendapat aduan daripada suku kaum Batek. 
"Semasa persampelan air yang dibuat pada 9 Jun, kita dapati keadaan kualiti air agak keruh di kolam takungan dan jernih di kawasan tanda air, di mana kawasan kawalan kualiti air yang dibuat. Dari segi bacaan di kawasan tersebut, kita akan ulang (pengambilan) sampel air pada hari ini dan kita akan dapatkan bacaan itu dalam masa yang segera," katanya kepada Astro AWANI pada Isnin.

Setakat ini, JAS Negeri Kelantan telah mengambil sampel air dari  tiga lokasi  punca air digunakan Orang Asli Kampung Kuala Koh bagi menganalisis kandungannya sama ada tercemar atau sebaliknya.
Lokasi terlibat termasuk di kawasan perlombongan terlibat dan kawasan tadahan air.

"Jadi untuk memastikan dan mengesahkan sama ada air itu tercemar atau tidak, kita telah hantar sampel air ke Jabatan Kimia bagi menganalisis bagi melihat sama ada logam berat atau lain-lain yang tercemar yang kemungkinan boleh menjadi punca kepada apa yang berlaku pada hari ini.

"JAS menjangkakan akan menerima laporan analisis sampel air yang diambil dua hari lepas Jabatan Kimia dalam tempoh terdekat. Kita cuba bincangkan dengan Jabatan Kimia supaya keputusan analisis dapat dikeluarkan dalam masa singkat," ujar beliau.


Tag: Astro, Astro Awani, orang asli, suku kaum batek, kuala koh



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.