Seramai 131 individu yang menjalani kuarantin wajib selepas tiba dari luar negara disahkan positif COVID-19, kata Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ujarnya, ia sekaligus memberi cerminan bahawa tindakan kerajaan mengkuarantin mereka yang pulang dari luar negara adalah tepat.

“Tindakan mewajibkan individu yang pulang dari luar negara menjalani kuarantin dilihat berjaya membendung penularan COVID-19 dan mengekang wujudnya kluster import,” katanya dalam sidang media harian (bukan kesihatan) COVID-19.

Katanya, sehingga semalam (24 April), sebanyak 209 Pusat Kuarantin telah beroperasi berbanding 204 pada hari sebelumnya, yang mana 16,633 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib.

Malah, semalam sejumlah 1,794 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air dan diarah menjalani kuarantin wajib.

Mengikut rekod, seramai 19,945 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara telah dikuarantin wajib sejak 3 April lalu.

Di mana sejak 17 April, 6,778 individu telah selesai menjalani tempoh kuarantin wajib dan dibenarkan pulang.