Tutup

Kuasa persatuan pengguna macam 'harimau tidak ada gigi' - CASSA

Kuasa persatuan pengguna macam 'harimau tidak ada gigi' - CASSA
CASSA: Kuasa persatuan pengguna macam harimau tidak ada gigi - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kuasa persatuan pengguna di negara ini diibarat masih belum cukup kuat selain diibarat seekor 'harimau yang tidak mempunyai gigi'.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, walaupun persatuan pengguna boleh membuat boikot kepada peniaga yang degil untuk menurunkan harga barangan namun kuasa mutlak terletak di bahu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sendiri.
"Ia tanggungjawab bersama di mana persatuan pengguna boleh membuat boikot atau tindakan seumpamanya di kawasan masing-masing.

"Bagaimanapun kuasa terletak di tangan KPDNKK. Bagaimana mereka boleh 'tolak' tanggungjawab boikot kepada kita?
"Kita seumpama harimau yang tidak ada gigi, kita boleh berbincang dengan kerajaan untuk memastikan kebajikan pengguna terbela," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dr. Jacob mengulas kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek yang melihat tugas memboikot peniaga yang berdegil untuk menurunkan harga barangan selepas pengumuman penurunan harga minyak pada Ahad lepas terletak sepenuhnya di tangan persatuan pengguna.

Bagaimanapun kata Hasan, kementeriannya sentiasa memantau 'gelagat' peniaga yang masih degil untuk menurunkan harga selain perlu mengakui tindakan akan dibuat selepas beberapa prosedur penyiasatan selesai.

Dalam pada itu ujar Dr. Jacob, kerajaan mempunyai kuasa untuk menyenarai hitam mana-mana peniaga yang didapati ingkar dengan arahan kerajaan untuk menurunkan harga.

"Kerajaan ada kuasa, mereka boleh menyenarai hitam dan menjalankan tanggungjawab berkenaan isu ini. Jangan tolak sepenuhnya tanggunjawab boikot ini ke persatuan pengguna.

Mengulas isu sama, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan menjelaskan, pihaknya akan memberi kerjasama dengan KPDNKK dalam isu berkenaan.

"Sebelum ini kita pernah menyenarai barangan untuk diboikot dan usaha itu berjaya, dalam hal ini kita boleh memberi kerjasama dan pengguna tidak boleh menyerahkan semua tanggungjawab kepada kementerian.

"Kita faham tugas kementerian dan menteri berkenaan juga pasti serba salah kerana perlu menjaga semua pihak yang terlibat," jelasnya.

Bagaimanapun Nadzim melihat kuasa pengguna di dalam tindakan boikot masih relevan walaupun mengakui situasi peniaga menurunkan harga mereka dilihat sesuatu yang amat sukar.