Sosok bernama Datuk Maznah Hamid akan sentiasa segar di dalam jiwa dan pemikiran kaum Hawa yang berani untuk menjadi luar biasa.

Pemergian Allahyarham yang terkenal dengan gelaran 'Iron Lady' nyata meninggalkan kesan besar buat Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah, Datuk Sabrina Mohd Noor.

Selaku Adun termuda di Kedah, Sabrina mengakui kehandalan Allahyarham merentasi pelbagai bidang sentiasa mengingatkan beliau tentang satu realiti; kuasa seorang wanita adalah luar biasa.

"Allahyarham menjadi idola yang harus dikenang dan diabadikan dalam lipatan sejarah Malaysia.

"Kisah hidupnya untuk berjaya bukan alang-kepalang, Allahyarham menjadi bukti penguasaan wanita dalam bidang yang dikuasai lelaki secara total," kata beliau ketika dihubungi Astro Awani di sini hari ini.

BACA: Perginya Maznah Hamid, Iron Lady yang dikagumi

Pada masa yang sama, Adun Bandar Baharu berusia 38 tahun ini menyifatkan Allahyarham menjadi pencetus semangat untuknya tenang mengharungi cabaran bergelar ahli politik dan pentadbir.

Allahyarham Maznah mendapat jolokan 'Iron Lady' selepas kejayaan membina empayar perniagaan dalam bidang kawalan keselamatan sejak 1980.