Tutup

Kuat kuasa undang-undang kaedah terbaik kembalikan kepercayaan - Tommy

Kuat kuasa undang-undang kaedah terbaik kembalikan kepercayaan - Tommy
Thomas berkata pengarah syarikat adalah pemegang amanah bagi semua harta dan aset milik syarikat mereka. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kaedah terbaik untuk mengembalikan kepercayaan dalam sektor korporat dan komersial di Malaysia adalah dengan mengambil tindakan undang-undang yang tegas terhadap mana-mana pelaku kesalahan.

Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas berkata undang-undang Malaysia secara amnya sangat baik tetapi penguatkuasaan perlu ditingkatkan.

"Sekiranya mesej penguatkuasaan kerajaan baharu kekal terang dan jelas, perbuatan salah patut dikurangkan.

"Dalam minda mana-mana individu adanya ancaman terhadap pendakwaan, diikuti dengan pemenjaraan," katanya ketika menutup Sidang Kemuncak Pengarah Antarabangsa 2019 di sini pada Selasa.
Terdapat lebih 1.3 juta syarikat yang telah diperbadankan, dengan kira-kira setengah juta sebenarnya menjalankan perniagaan dan saham kira-kira 1,000 syarikat awam didagangkan di Bursa Malaysia.

Thomas berkata pengarah syarikat adalah pemegang amanah bagi semua harta dan aset milik syarikat mereka.
"Beliau mempunyai kewajipan untuk memelihara dan melindungi aset tersebut. Pengarah tidak boleh mencuri aset daripada syarikat, atau mengalihkannya ke entiti lain di mana para pengarah mempunyai kepentingan," katanya sambil menambah bahawa konflik kepentingan perlu dielakkan.

Beliau berkata para pengarah perlu memahami bahawa undang-undang mengenakan piawaian objektif berkenaan dengan aset syarikat.

Tindakan pengarah yang tidak jujur dan menipu telah menarik banyak perhatian orang ramai, katanya.

Justeru, apabila penipuan dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dirancang di Malaysia sekitar tahun 2009, tingkah laku tidak jujur para pengarah yang tidak dihukum di Malaysia adalah besar, kata Thomas.

Beliau berkata apabila Pakatan Harapan berkuasa pada Mei 2018, kerajaan baharu bertegas untuk mengurangkan, dan akhirnya menghapuskan rasuah.

Persidangan itu dianjurkan oleh Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM) sebagai platform untuk para peserta membincangkan, membahaskan serta mencari jalan menyediakan kepimpinan tadbir urus korporat dalam menghadapi cabaran semasa.

Persidangan dua hari, yang berakhir hari ini, dihadiri lebih 400 pemimpin eksekutif tempatan dan antarabangsa, pakar tadbir urus, wakil kerajaan dan pembuat dasar.

-- BERNAMA