Tutup

Kubur dirodok: 'Roh hidro mini' selubungi Orang Asli Ulu Geruntum

Kubur dirodok: 'Roh hidro mini' selubungi Orang Asli Ulu Geruntum
Penduduk Ulu Geruntum mendakwa tanah perkuburan Orang Asli dan sebahagian kebun dan tanaman hasil hutan menjadi mangsa kepada projek pembangunan di kawasan tersebut. - Foto Astro AWANI
GOPENG: Selepas bantahan demi bantahan dikemukakan penduduk Orang Asli di perkampungan Ulu Geruntum di sini, mereka akui segalanya sudah terlambat apabila tanah perkuburan dan pertanian mereka terus dirodok pemaju projek hidro elektrik mini.

Sabar menanti jawapan konkrit daripada pemaju dan agensi kerajaan, penduduk di situ kian tertekan dan susah hati.
Mana tidaknya, selain tanah perkuburan nenek moyang mereka dirodok traktor, kebun pelbagai jenis buah-buahan dan tanaman hasil hutan turut menjadi mangsa pembangunan.


Bagi Wahnoon Bah Haron, 58, dia akui ada penduduk yang 'diganggu' oleh roh nenek moyang mereka selepas tanah perkuburan itu dirodok oleh pemaju projek.
"Memang banyak kubur di situ, tak terkira banyaknya. Ada yang berpuluh hingga ke beratus tahun. Kubur kami Orang Asli bukan macam orang Melayu yang bertanda, kami tidak.

"Kami hanya tanam dengan buluh atau menggunakan kayu, itu sahaja. Kini tidak ada apa lagi yang bertanda. Memang kami susah hati.

"Mula-mula dulu apabila kubur itu diceroboh, 'dia punya itu' merayap ke rumah di perkampungan sebelah atas sehingga ada yang bermimpi rumah mereka diganggu," katanya ketika ditemui Astro AWANI semalam.


Sementara itu, Beledheed Sarol Awin, 45, akui penduduk tempatan tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak dalam situasi ini.

Sebaliknya, mereka memerlukan pemimpin yang boleh mendengar suara mereka sekaligus menyelesaikan kemelut itu yang telah mengancam keindahan alam.

"Kita tengok di sepanjang anak sungai itu, terdapat batuan besar dan longgokan sampah sarap yang boleh menjejaskan pemandangan serta kecantikan sungai itu.

"Setahu saya, Orang Asli merupakan penjaga alam sekitar dan khazanah hutan. Jadi apabila pihak tertentu datang memusnahkan alam sekitar kita, Orang Asli sedih sebab kami tidak ada tempat nak mengadu.

"Saya bukan nak salahkan mana-mana pihak sebaliknya kami cuma nak mempertahankan hak tanah kita.

"Tanah ini sudah beratus tahun menjadi kawasan penempatan Orang Asli. Jadi saya rasa tidak wajar pihak luar datang dan menceroboh tanah, menebang pokok-pokok yang berusia hampir 70 atau 80 tahun," tegasnya.


Dalam pada itu, Bah Alang Bah Ngah, 47 tahun, menegaskan Orang Asli tidak menolak sebarang pembangunan, sebaliknya mereka mahu pembangunan yang ingin dilaksanakan dibuat dengan cara yang betul.

"Kami bukan halang pembangunan, sesiapa pun nak buat, silakan. Bagaimanapun, kami mahu ia dilakukan dengan cara yang benar. Tetapi kalau cara yang dilaksanakan seperti ini, memang kami tidak setuju.

"Malah, mereka (pemaju) pun tidak minta persetujuan dengan kami. Lagi pun, mereka langsung tidak tengok, pantau atau turun padang.

"Tidak kira daripada kementerian atau Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), mereka langsung tidak ambil berat hal kami. Sudah berbelas-belas kali bagi surat," ujarnya kecewa lantaran tidak menerima sebarang maklum balas daripada pihak berwajib.


Tidak mahu isu itu dimanipulasi sesetengah pihak yang hanya menyalahkan kerajaan, Uda Tiah Bah Adim, 53 tahun, akui Orang Asli di Semenanjung Malaysia telah menerima pelbagai manfaat daripada kerajaan.

"Biar kerajaan dengar, saya bukan nak kutuk kerajaan. Kerajaan selama ini telah bantu kami dan kami hidup dengan bantuan dia (kerajaan). Kami Orang Asli di serata kampung di Semenanjung Malaysia ini telah dibantu oleh kerajaan.

"Mereka menyediakan sekolah, jalan, bantuan perumahan dan pelbagai lagi. Jadi kalau sekiranya projek sebegini, saya minta tolong supaya ia dibuat dengan cara yang betul dan adil.

"Biarlah menerusi projek sebegini, pihak kerajaan berpuas hati dan pihak kami pun berpuas hati. Jangan buat seperti apa yang terjadi sekarang ini. Apabila buat macam ini, kami susah hati. Di mana tempat dan siapa yang boleh kami mengadu?" soalnya.


Sehingga kini, penduduk Orang Asli di tujuh kampung di Ulu Geruntum masih tidak mengetahui status pelaksanaan projek tersebut walaupun sebahagian hutan telah digondol, anak sungai dikambus, selain terdapat pondok rehat pekerja dan jengkaut yang ditinggalkan.

Pada 21 Februari lalu, Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengarahkan satu kajian teliti diadakan terhadap projek pembinaan hidro elektrik mini tersebut yang telah menerima tentangan segelintir masyarakat Orang Asli di situ.


Katanya, hasil kajian itu nanti akan diperhalusi secara komprehensif oleh kerajaan negeri sebelum apa-apa keputusan dibuat.

Di kerusi Parlimen Gopeng ini, penyandang Dr Lee Boon Chye menang dengan majoriti 15,309 undi pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13). Beliau akan mempertahankan kerusi itu pada PRU14 9 Mei ini.

Sejumlah 99,167 pemilih berdaftar di Parlimen Gopeng di mana 2,074 (2.09 peratus) merupakan pemilih Orang Asli.