Bandaraya Kuching kini bergerak pantas ke arah mencapai status bandar raya metropolis dengan pembangunan berteraskan digital dan budaya.

Malah, kerajaan negeri juga ada perancangan untuk menaik taraf bandar raya itu selari dengan bandar maju lain di dunia.

Selain itu, kawasan dan bangunan bersejarah akan dipulihara bagi mencapai hasrat sebagai hab pembangunan bandar pintar tanpa menjejaskan kawasan tradisi.

Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, bandar raya Kuching kaya dengan sejarah serta tradisinya tersendiri dan keunikan ini harus dipertahankan.

“Kita (kerajaan negeri) akan membangunkan prasarana yang mencukupi sebagai bandar metropolis dan juga bandar pintar.

“Selain itu apa yang penting ialah budaya dan keunikan yang ada pada masyarakat Sarawak khususnya di Kuching haruslah dipertahankan. Ini termasuk perpaduan yang kukuh antara warga Kuching juga seluruh warga Bumi Kenyalang,” katanya.

Tambah Abang Johari, kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta di bandar raya ini juga sangat baik terutama dalam perancangan menjadikan Kuching sebagai sebuah bandar raya yang sistematik dan kondusif.

“Dalam usaha menjayakan aspirasi ini, kita (kerajaan negeri) harus melihat semula menerusi pelan perancangan utama dan fasilit-fasiliti ini akan dibangunkan antara pihak bandar raya dengan sektor swasta untuk kita memberi kemudahan yang lebih moden kepada sesuatu kawasan tersebut,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Sambutan Ulang Tahun ke 32 Kuching bergelar bandar raya pertama kali 32 tahun yang lalu pada 1 Ogos 1988.

Pembangunan yang akan dicapai merangkumi beberapa komponen utama antaranya fasiliti kemudahan asas yang mencukupi, persekitaran lestari, keselamatan dan keamanan masyarakat terjamin.

Kini Bandar Raya Kuching memiliki kepadatan penduduk lebih 700,000 ribu orang dan dikelola dibawah dua pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).