Seorang pemilik tanaman fertigasi di Simpang Empat, Alor Setar terkejut dan sedih apabila mendapati lima ekor kucing import yang dipeliharanya lesap.

Mohd Hashim Mat Isa, kehilangan empat ekor kucing jenis parsi, dan seekor kucing jenis maine coon yang bernilai kira-kira RM5,000.

Bagaimanapun, jelasnya, beliau bukanlah kesal kerana kerugian ribuan ringgit, tetapi sedih kerana nilai kasih sayang yang sudah dicurahkan kepada haiwan berkenaan.

Menurut Mohd Hashim, beliau menyedari kehilangan haiwan itu selepas mendapati sangkar besi yang menempatkan 14 ekor kucing peliharaannya itu berlubang pada pukul 6.30 pagi.

“Saya syak memang orang curi sebab ada bekas potong pada sangkar kucing tersebut, dan saya rasa orang yang ambil tu mungkin pernah datang ke sini dan sudah tahu selok belok (rumah saya).

“Ya, sesiapa yang menjumpai kucing ini boleh pulangkan pada saya ataupun sesiapa yang dapat orang yang curi ini kita akan bagi ganjaran,” katanya.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kucing belaannya dipercayai dilarikan seorang lelaki.

Mohd Hashim membuat laporan di Balai Polis Simpang Empat dan menyerahkan rakaman CCTV berkenaan untuk siasatan lanjut polis.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Mohd Rozi Jidin mengesahkan laporan.