Karnival Usahawan Desa (KUD) menjadi satu himpunan produk dan perniagaan luar bandar, aktiviti perluasan rangkaian dan jaringan perniagaan serta perjumpaan bagi usahawan-usahawan luar bandar yang terbesar di peringkat negara.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peluang itu juga boleh dimanfaatkan oleh pemain bisnes profesional yang berminat mencari peluang niaga bersama usahawan luar bandar.

Jelasnya, ia sekali gus menjadikan KUD sebagai platform bagi perluasan rangkaian perniagaan mereka.

"Tujuan KUD kita laksanakan untuk memberikan ruang kepada usahawan desa mempamerkan produk mereka.

"Kita hendak ubah persepsi masyarakat tentang produk usahawan desa ini dari segi kualiti dan persembahan yang sama sahaja dengan produk lain di luar negara.

"Lebih baik kita memberi sokongan kepada produk usahawan desa daripada produk import dari luar dan sebagainya yang kualitinya hampir sama atau kita lebih baik daripada mereka," katanya semasa sidang media selepas Majlis Pra Pelancaran Karnival Usahawan Desa (KUD) 2017 di sini hari ini.

KUD yang akan berlangsung selama empat hari iaitu pada 19 hingga 22 Oktober 2017 di PWTC, bermula jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam.

Majlis perasmian akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 20 Oktober.

KUD 2017 bertemakan 'Usahawan desa produk global' kali ini akan memberi tumpuan khusus kepada usaha untuk memperluaskan akses pasaran produk atau perkhidmatan luar bandar ke bandar dan seterusnya ke luar negara.

Jelas Ismail, KUD merupakan program anjuran KKLW yang dilaksanakan secara dwi tahunan dengan sokongan dan kerjasama jabatan serta agensi di bawah kementerian.

"Ia untuk memperkenal, mempromosi dan memperluaskan akses pasaran serta memartabatkan produk serta perkhidmatan luar bandar, meneroka peluang pasaran baharu dan lebih besar dengan pengurusan pemasaran secara sistematik dan meningkatkan daya saing dan kebolehpasaran produk atau perkhidmatan luar bandar," ujarnya.

Kata Ismail lagi, pada KUD 2017 kali ini, pengguna serta masyarakat umum mempunyai pilihan kepada lebih daripada 700 produk dengan jenama keluaran usahawan luar bandar.

"Pengguna boleh mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian sehinggalah kepada barangan rumah dan barangan peribadi. Pengunjung KUD 2017 juga akan disajikan dengan pameran dan demonstrasi serta pelbagai bentuk hiburan disediakan untuk seisi keluarga," katanya.

Orang ramai juga boleh melayari laman web KKLW www.rurallink.gov.my, Facebook rasmi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah atau Instagram Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah iaitu kklw_gov dan twitter rasmi kementerian iaitu kklw_gov.

Tagline bagi KUD 2017 adalah Usahawan Desa Produk Global, manakala hashtag KUD 2017 pula adalah #supportlocal.