Kerajaan Negeri Selangor tidak pernah mengarahkan Kuil Seafield Sri Maha Mariamman, di USJ 25, Subang Jaya dekat sini dirobohkan, sebaliknya arahan pemindahannya ke lokasi lain dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V. Ganabatirau berkata berdasarkan Penghakiman Persetujuan (Consent Judgment) bertarikh 11 Mac 2014, empat pihak terlibat telah bersetuju memindahkan kuil tersebut dan menyerahkan kembali tapak kuil dalam keadaan kosong kepada pemilik tanah.

Empat pihak terlibat dalam penghakiman berkenaan ialah kerajaan negeri, pemilik tapak kuil berkenaan One City Development Sdn Bhd (One City) serta dua individu yang mendakwa pentadbir kuil tersebut, K. Chellappa dan M. Nagaraju.

Chellappa memfailkan bantahan terhadap usaha One City mengambil tapak kuil berkenaan pada 1996.

"Dalam penghakiman persetujuan itu pemilik tanah, (One City) juga bersetuju mendepositkan wang sebanyak RM1.5 juta kepada pihak kuil, di mana saya difahamkan wang telah didepositkan kepada peguam kuil. Kerajaan negeri turut menyerahkan tanah seluas kira-kira 0.4 hektar (satu ekar) yang terletak kira-kira tiga kilometer dari lokasi asal kuil," katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Menurut Ganabatirau, pihaknya percaya isu pemindahan kuil berkenaan telah dipolitikkan oleh pihak tidak bertanggungjawab apabila mahkamah kemudian memutuskan bahawa Chellappa adalah pentadbir sah kuil berkenaan.

Tambah beliau, keputusan itu tidak dipersetujui Nagaraju yang kemudian bertindak membantah kuil tersebut dipindahkan selain mendakwa kerajaan negeri telah mengarahkan ia dirobohkan.

"Ini adalah tidak benar kerana arahan pemindahan kuil ini dikeluarkan oleh mahkamah dan kerajaan negeri perlu patuh kepada arahan berkenaan," katanya.

Menurut beliau lagi, kerajaan Selangor sentiasa menjaga keharmonian dan hak semua agama termasuk agama Hindu, di mana sejak 2008 kira-kira 130 tapak kuil telah diwartakan.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan negeri akan patuh kepada arahan yang dikeluarkan mahkamah dan kuil berkenaan perlu berpindah seperti yang diarahkan berikutan ia terletak di atas tanah persendirian.

Pada 28 Sept lepas, satu notis pengosongan dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mengarahkan penghuni kuil mengosongkan tapak pada atau sebelum 15 Okt lepas.

Bagaimanapun pada Khamis lepas, (25 Okt) kira-kira 300 individu yang tidak bersetuju kuil itu dipindahkan bertindak berkumpul di kuil berkenaan semasa urusan pemindahan dijalankan.

Individu terbabit mahu kuil berkenaan yang didakwa dibina pada 1891 diselamatkan berdasarkan merit agama dan sejarah, namun Ganabatirau memaklumkan bahawa kuil berkenaan dibina pada 1974.

-- BERNAMA