Kumpulan Anti Bersih 4.0 yang melakukan demonstrasi ekstrem di hadapan sebuah kompleks beli belah di sini Selasa lalu disiasat polis mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

Berikutan insiden tersebut Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainol Samah berkata, kertas siasatan telah dibuka pada hari yang sama kumpulan tersebut melakukan demonstrasi itu.

"Kertas siasatan sebenarnya telahpun dibuka pada hari kumpulan itu melakukan demonstrasi (Selasa) kerana tidak mendapat permit daripada Ketua Polis Daerah untuk berhimpun," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, pada Khamis.

Ketua Kumpulan Anti Bersih 4.0 Datuk Jamal Md Yunos telah diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi petang ini bagi membantu siasatan bersama penganjur lain.

Selasa lalu, ahli kumpulan terbabit mengadakan satu demonstrasi yang mempamerkan pelbagai aksi ganas dengan bertindak memukul sesama sendiri dengan kayu dan kepingan atap genting di Kompleks Beli Belah Sogo.

Ia dikatakan sebagai persiapan mereka untuk berdepan dengan perhimpunan Bersih 4.0 di kompleks beli belah tersebut yang akan diadakan hujung minggu ini.

"Jika penganjur Bersih 4.0 mengotakan kata-kata mereka, untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 100,000 orang menyertai perhimpunan haram itu, maka, pihak berkuasa sudah tentu akan menghadapi masalah untuk memberi jaminan keselamatan kepada semua peserta kuning dan juga kami.

"Kami tidak akan memulakan sebarang keganasan tetapi sekiranya pasukan kuning berbuat demikian, maka, orang-orang kami yang berpakaian mereka berkemampuan mempertahankan diri masing-masing," katanya dalam satu temuramah portal berita, The Rakyat Post.

Jamal turut menegaskan aksi tersebut hanya satu demonstrasi latihan persilatan untuk menunjukkan ahli kumpulan itu bersedia mempertahankan diri.

Kumpulan yang merupakan gabungan badan bukan kerajaan (NGO) itu yang diketuai oleh Jamal memilih warna merah manakala peserta Bersih 4.0 pula akan berpakaian kuning.

Kumpulan penyokong kerajaan itu akan berhimpun di sekitar Plaza Low Yat di Jalan Bukit Bintang pada jam 9 pagi Sabtu ini dan akan berarak ke Dataran Merdeka melalui Jalan Pudu pada 10 pagi.