Tutup

Kumpulan bakat, ekosistem kukuh tarik pelaburan ke Pulau Pinang - Kon Yeow

Kumpulan bakat, ekosistem kukuh tarik pelaburan ke Pulau Pinang - Kon Yeow
KON YEOW: Kejayaan Pulau Pinang bukan terjadi secara tidak sengaja. -Gambar fail
GEORGE TOWN: Kejayaan Pulau Pinang menarik pelaburan besar dalam sektor pengilangan didorong oleh keupayaan negeri itu menyediakan kumpulan bakat serta ekosistem yang kukuh yang diperlukan untuk pertumbuhan sektor berkenaan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kerjasama antara kerajaan negeri dan pelabur berjaya membangunkan kemahiran dan keupayaan tenaga kerja, selain keupayaan teknologi yang dimiliki perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
"Kejayaan Pulau Pinang bukan terjadi secara tidak sengaja. Berdasarkan usaha tanpa jemu serta kerjasama rapat, kami mengubah Pulau Pinang daripada destinasi pengilangan kos rendah kepada lokasi pilihan yang bertumpu kepada nilai tambah yang tinggi dan produk canggih," katanya pada pembukaan kemudahan perkilangan bernilai RM165 juta VAT Manufacturing Malaysia Sdn Bhd di Batu Kawan, dekat sini pada Khamis.

Kemudahan itu merupakan projek pembesaran Fasa 2 -- VAT Penang -- oleh VAT Manufacturing Malaysia, milik pengeluar injap vakum Switzerland, VAT Group AG.
Menurut Chow, Pulau Pinang mencatatklan RM9.2 bilion pelaburan dalam sektor perkilangan yang diluluskan pada separuh pertama tahun ini, mewakili 35 peratus daripada pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia -- angka tertinggi dalam negara.

Separuh pertama FDI 2019 kami melepasi FDI (setahun penuh) bagi 2018 sebanyak RM3.7 bilion," katanya.

Pada sidang akhbar kemudiannya, beliau berkata Pulau Pinang baru-baru ini menerima banyak pertanyaan daripada bakal pelabur, namun lebih memilih mereka yang merancang untuk melabur dalam industri berteknologi tinggi dan penyelidikan dan pembangunan.

Chow berkata selain mencari pelabur baharu, negeri itu mengharapkan pelaburan semula dan pelaburan selanjutnya daripada pemain industri utama yang ada di Pulau Pinang.

"Mendapatkan pelabur baharu lebih sukar berbanding pelaburan semula. Ini kerana pelabur sedia ada, selepas beberapa tahun, akan merasa selesa dengan ekosistem dan ada keperluan untuk mereka mengembangkan pengeluaran di sini," katanya.

-- BERNAMA