Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mengaktifkan serta-merta kumpulan kerja bagi menangani situasi panas dan kering berikutan fenomena El Nino, kata Ketua Pengarahnya Datuk Zaiton Ab Samah.

Beliau berkata keadaan panas dan kering yang dijangka berterusan sehingga suku pertama tahun ini berpotensi mewujudkan kesan rantaian seperti kebakaran hutan, penurunan paras air empangan dan juga jerebu.

"Kumpulan kerja ini akan bersidang secara berkala mengikut keperluan bagi memantau situasi dan menyelaras tindakan kadar segera," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pengurusan Bencana Pusat: Persediaan Menghadapi Cuaca Panas dan Kering di sini hari ini.

Kumpulan itu dianggotai oleh ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri dan Daerah yang masing-masing diterajui oleh setiausaha kerajaan negeri dan pegawai daerah, katanya.

Zaiton berkata mesyuarat hari ini antara lain memutuskan pelaksanaan pemantauan dengan mengaktifkan pelan tindakan pencegahan pembakaran terbuka dan perintah larangan apabila perlu.

"Antara penekanan yang diberi adalah pihak terlibat di peringkat negeri perlu memaklumkan lokasi penempatan yang sering berdepan dengan situasi kronik ketiadaan bekalan air semasa musim panas bagi memudahkan pihak berkuasa untuk melakukan persiapan awal," katanya.

Menurut Zaiton, Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan keadaan yang sedang berlaku berkemungkinan boleh mengatasi kekuatan El Nino yang pernah melanda negara pada tahun 1997/1998, yang mencecah 40.1 darjah Celsius.

MetMalaysia menjangkakan terdapat peningkatan suhu sekitar 0.5 hingga 2.0 darjah Celsius, dan memberi impak intensiti yang maksimum pada bulan Januari, jelasnya.

Zaiton berkata MetMalaysia juga bersiap sedia untuk melaksanakan operasi pembenihan awan bagi tujuan membentuk awan hujan atau pengairan empangan.

Sementara itu, Ketua Pengarah MetMalaysia Datuk Che Gayah Ismail berkata tahap El Nino kini dikategorikan sebagai sangat kuat dan intensiti fenomena El Nino dijangka mencapai kemuncak pada bulan ini.

"Ia (fenomena) ini akan beransur lemah mulai Februari dan keadaan dijangka menjadi neutral selepas Jun tahun ini," jelas beliau.

Beliau berkata impak El Nino yang kuat itu akan berterusan sehingga April di beberapa negeri antaranya Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Johor, Melaka, Sabah dan bahagian Limbang dan Miri di Sarawak.