Tutup

Kumpulan pemancing selamat tiba di Jeti Kuala Kedah, diberi rawatan kerana lemah

Kumpulan pemancing selamat tiba di Jeti Kuala Kedah, diberi rawatan kerana lemah
Sejurus tiba di Jeti Kuala Kedah, mangsa yang berusia 40 hingga 50-an tiba di beri rawatan oleh Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) kerana berada dalam keadaan lemah. - Gambar fail
KUALA KEDAH: Kesemua 19 pemancing dan kru yang dilaporkan hilang dihanyutkan ketika memancing di Pulau Payar, Langkawi selamat tiba di Jeti Kuala Kedah, kira-kira pukul 7 malam tadi

Mereka yang berusia 40 hingga 50-an  tiba di beri rawatan oleh Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) kerana berada dalam keadaan lemah.

Kesemua mangsa yang berada di dalam bot nelayan ditunda dari lokasi mereka setelah ditemui kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Menurut tekong bot, Saad Omar, kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam apabila bot Kelas A yang dinaiki bocor di bahagian bot.
Sebelum kejadian, angin kuat dan bot mangsa dihanyutkan sebelum akhirnya ditemui nelayan lain yang melalui kawasan itu.

“Semua dalam keadaan baik dan tiada sebarang kecelakaan dialami. Semua 14 orang yang datang beriadah dan lima kru semua selamat. Saya tak dapat bilangan data lagi. Kita akan siasat semua aspek,” ujar Saad.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi Daerah Maritim 1 Langkawi, Komander Maritim Vincent Rajamony berkata, pihaknya mengaktifkan opertasi pencarian kira-kira jam 10.41 malam selepas menerima laporan awam. Kejadian berlaku selepas bot pemancing mengalami kebocoran dan menyebabkan bot hanyut ketika mereka dalam perjalanan ke Kuala Kedah.

Pemancing dalam keadaan selamat dan bot yang bocor itu tidak karam seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Seramai 14 kaki pancing dan lima kru di dapati berada dalam bot sebelum ditemui oleh bot nelayan di 18 batu nautika dari lokasi kejadian.